Benjamin Mora, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), melihat pertemuan terakhir peringkat Kumpulan I menentang Ulsan Hyundai FC sebagai halangan terakhir untuk mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Benjamin Mora berkata demikian selepas pasukannya berjaya melepasi objektif awal menewaskan kelab dari China, Guangzhou FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin.

Katanya, kemenangan itu bukanlah mudah dicapai setelah Guangzhou mempamerkan taktik bertahan menggunakan formasi 5-4-1 bagi mengekang anak buahnya untuk melakukan serangan ke arah gawang.

“Kami berdepan kesukaran untuk tembusi benteng pertahanan kerana mereka cukup padat dalam ruang 30 meter di zon mereka sendiri.

“Kami terpaksa berusaha le­bih keras dengan meningkatkan tempo permainan dan mempelbagaikan corak serangan, namun sedikit kelegaan apabila misi mengutip tiga mata tercapai.

“Saya gembira dengan keputusan ini, objektif pertama kami sudah tercapai dalam usaha untuk menghidupkan peluang melakar sejarah pertama kali melangkah ke pusingan kalah mati ACL,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Sementara itu, Mora berbangga selepas skuad Harimau Selatan memperlihatkan peningkatan setelah empat musim bersaing pada kejohanan ACL.

Mora berkata, musim ini JDT mempamerkan aksi lebih memberangsangkan berbanding sebelum ini apabila berjaya mengutip 10 mata menerusi lima perlawanan, sekalipun diletakkan dalam kumpulan sama dengan kelab gergasi Asia seperti Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.

JDT dijadualkan bertemu dengan Ulsan Hyundai FC hari ini, Sabtu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri jam 5.00 petang.

Sumber : Sukan Kosmo