Menjelang perlawanan penting dan genting antara pasukan Malaysia dan Indonesia Ahad ini, pemain perlu hadapi segala tekanan dengan bijak.
Perang psikologi yang dilancarkan oleh penyokong bola sepak Indonesia ke atas pemain sayap negara, Safawi Rasid dilihat tidak berjaya.
Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe berjata, tahap motivasi dan mental Safawi kelihatan cukup tinggi dan tidak mudah ‘koyak’ walaupun diserang bertalu-talu di media sosial terutamanya di akaun Instagram miliknya.
Cheng Hoe turut berkata, beliau sempat berjumpa dengan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pagi tadi dan dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi tentang serangan di media sosial itu.
“Setakat sekarang dan hari ini, Safawi tak nampak dalam keadaan suram ke, muram ke atau sedih.
“Tapi kita nampak dia macam tak ada masalah tentang (serangan psikologi) itu, yang penting nampak dia masih fokus untuk lawan Indonesia saja,” katanya
Akaun Instagram milik Safawi semalam ‘diserang’ penyokong bola sepak Indonesia yang tidak berpuas hati apabila pemain kacukan mereka, Elkan Baggott diarahkan untuk dikuarantin selama lima hari oleh pihak berkuasa kesihatan Singapura, mulai kelmarin.
Ia selepas pemain Ipswich Town itu dipercayai oleh kerajaan Singapura menaiki pesawat yang sama dari London ke Kota Singa dengan salah seorang penumpang yang mendapat keputusan positif COVID-19 varian baharu iaitu Omicron.
Lantas, tindakan pihak berkuasa tempatan itu menimbulkan kemarahan penyokong Indonesia yang menuduh skuad Harimau Malaya mendapat layanan ‘istimewa’, di mana Safawi Rasid yang duduk sebilik dengan Akhyar Rashid dibenarkan beraksi.
Contoh yang diberikan media Indonesia itu nyata menaikkan api kemarahan penyokong tegar skuad Garuda yang kemudiannya menyerang Instagram pemain sayap kebangsaan itu yang dikatakan kontak rapat kepada Akhyar.
Skuad negara bakal berdepan misi wajib menang ke atas ‘musuh’ tradisi itu bagi meraih tiket ke separuh akhir Piala AFF kali ini.
Harimau Malaya wajib menang Ahad ini dalam memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir.
Sumber : Berita Harian