Syafiq Ahmad, penyerang Harimau Malaya, menyatakan hasrat untuk kembali bergabung dengan skuad Hijau Kuning pada musim 2022. Beliau kini hanya menunggu persetujuan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja.

Khamal Idris Ali selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman (KDA) FC, memberitahu melalui laporan dari Sinar Sukan, pihaknya bersedia menerima pemain tersebut selepas JDT mengumumkan Syafiq antara pemain yang akan dipinjamkan kepada pasukan yang beraksi di pentas Piala AFC musim hadapan.

Khamal Idris menambah, kehadiran Syafiq mampu memberikan nilai tambah kepada jentera serangan pasukannya setelah pasukannya, KDA FC, kehilangan dua penggempur import sensasi, Kpah Sherman dan Tcheche Kipre.

“Syafiq ada menyuarakan hasrat untuk kembali ke Darul Aman dan KDA FC juga berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Namun kata putus kini terletak kepada pengurusan JDT dan kami berharap mereka membenarkan pemain tersebut untuk beraksi bersama kami bagi saingan musim hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman, di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Khamal Idris menyertai Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempengerusikan Kongres Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kali ke-46.

Khamal Idris berkata, Syafiq yang merupakan produk kelahiran KFA sebelum berhijrah ke JDT pada tahun 2017 mampu memberi nilai tambah kepada jentera serangan pasukannya.

Selasa lepas, Pengarah Sukan Bolasepak JDT, Martin Prest dalam kenyataan rasmi menyatakan Syafiq antara pemain yang akan dipinjamkan ke pasukan lain pada musim hadapan.

Artikel Penuh : Sinar Sukan

Foto : The Photoshooterz