Pemain tengah Inggeris-Malaysia Nathaniel Shio Hong Wan dari Wolverhampton Wanderers bakal menyertai juara Liga Super Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pengumuman untuk pemain berusia 20 tahun itu yang layak mewakili Malaysia melalui ibu kelahiran Johor itu dibuat pada Khamis lepas.

“JDT telah mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain warisan Malaysia Nathaniel Shio Hong Wan dari Wolverhampton Wanderers.

“Perjanjian itu tertakluk kepada permohonan kewarganegaraan Malaysia yang berjaya dan akan berlangsung pada penghujung kontrak semasanya pada Jun,” kata pengarah teknikal JDT, Alistair Edwards.

Wan, yang memulakan kerjaya bola sepaknya di Yeovil Town, juga mempunyai pengalaman bermain di Croatia untuk NK Varazdin.

Dalam masa yang sama JDT sedang dalam rundingan untuk menandatangani seorang pemain tempatan dan empat pemain luar negara bagi musim 2022. Satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat. 

Melalui hantaran yang sama, JDT juga telah memutuskan untuk melepaskan Gonzalo Cabrera dan akan mengekalkan kesemua pemain luar negara yang lain dalam pasukan senior. Seorang daripada empat pemain luar negara baru akan digandingkan dengan Bergson manakala yang lain akan diserapkan ke JDT II untuk digunakan dalam sistem ‘rotation’. 

“JDT turut akan meminjamkan Irfan Fazail dan Stuart Wilkins ke Sabah, Fadhli Shas dan Syazwan Andik ke Melaka United dan kini sedang berbincang dengan beberapa kelab untuk meminjamkan Syafiq Ahmad. 

JDT juga akan merekrut Endrick dos Santos untuk musim 2023, dengan kemungkinan untuk dinaturalisasi. Kelab telah membuat keputusan untuk hanya menaturalisasikan pemain yang masih muda dan boleh memberi sumbangan untuk jangka masa panjang.