Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan kehilangan seorang pemain sayap berkaliber, Gonzalo Cabrera kerana beliau difahamkan tidak akan lagi bersama pasukan Harimau Selatan itu pada musim hadapan. Beliau disahkan melalui lman rasmi Johor Southern Tigers sebentar tadi akan meninggalkan pasukan untuk mencuba haluan baru.
Beliau yang kini berusia 32 tahun, sudah pun beraksi bersama JDT sejak tahun 2017 bersama pasukan. Cabrera bakal mencari haluan baharu setelah merangkul pelbagai kejuaraan bersama JDT.
Gonzalo Cabrera yang juga menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT dalam saingan Liga Super setelah beliau berjaya merobek gawang lawan sebanyak 43 kali selain daripada 66 golnya dalam kesemua pertandingan menjadi aset penting buat pasukan kendalian Benjamin Mora mengekalkan mahkota kejuaraan.
Pemain kelahiran Argentina itu juga sering menjadi mimpi ngeri buat pertahanan lawan dengan kebolehan beliau untuk menggelecek selain mempunyai kepantasan dan juga kemampuan untuk menjaringkan gol dari pelbagai sudut menjadi aset terbesar buat pemain ini.
Beliau juga telah membantu pasukan JDT meraih 11 trofi termasuklah 5 piala Liga Super, 4 Piala Sumbangsih dan juga 2 Piala Malaysia pada tahun 2017 dan 2019.
“Sudah tiba masanya untuk berpisah tapi ia penghormatan yang amat besar. Terima kasih sekali lagi untuk setiap detik yang indah dan kami ucapkan selamat maju jaya,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, nama Cabrera dicanang untuk dijadikan pemain naturalisasi bagi memperkuat skuad Harimau Malaya setelah berada di negara melebihi tempoh lima tahun.
Ketika ini, pemain pertahanan yang ditandatangani awal tahun ini, Shane Lowry mengisi slot kuota Asia bagi JDT.
Kesungguhan beliau ketika berada di atas padang tidak boleh dipertikaikan dan sepatutnya akan menjadi contoh kepada penain muda yang lain.
Pemergian beliau pastinya menjadi kehilangan yang cukup besar buat pasukan namun jasa dan sumbangan beliau memacu kejayaan pasukan pastinya bakal menjadi detik terindah buat para penyokong Harimau Selatan.
Berita perpindahan Cabrera itu memberi bayangan bahawa JDT akan membawa masuk pemain import baharu bagi menguatkan jentera serangan namun belum ada sebarang perkembangan terkini mengenainya.
Pada 2 Disember lalu, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memberitahu terdapat pemain dalam pasukan Harimau Selatan akan dilepaskan dan tidak lagi bersama kelab untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Bagaimanapun, pemilik kelab JDT itu memberitahu berapa ramai pemain akan meninggalkan kelab bagi memberi ruang untuk membawa masuk pemain baharu.
“Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan. Pengarah Teknikal JDT akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti,” ujarnya.
Sumber : JOHOR Southern Tigers
Foto : The Photoshooterz