Skuad Harimau Malaya tiada jalan lain menjelang aksi ketiga Kumpulan B menentang Vietnam malam ini, selain merekodkan kemenangan dalam usaha mengesahkan slot pentas separuh akhir lebih awal dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020.
Tan Cheng Hoe, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, mengakui rekod hambar pasukan negara ketika bertemu Vietnam sebelum ini tidak boleh dijadikan sandaran kerana pertemuan kali ini adalah berbeza.
Tan Cheng Hoe berkata, jerat yang dipasang oleh skuad Park Hang-seo sudahpun ‘dihadam’ dan kini tanggungjawab diletakkan sepenuhnya kepada pemain untuk memberikan prestasi terbaik di Stadium Bishan, Singapura nanti.
“Kita telah meraih motivasi terbaik dengan merekodkan dua kemenangan di peringkat kumpulan sebelum ini, tetapi ujian sebenar pasukan adalah bertemu dengan Vietnam nanti.
“Malah, rekod kita tidak berapa baik ketika bertemu Vietnam sejak beberapa tahun lepas, namun dengan kualiti pemain yang kita ada, saya percaya perlawanan kali ini akan berkesudahan dengan keputusan positif.
“Di atas kertas, sudah tentu kita lihat Vietnam ada kelebihan memandangkan mereka hanya melalui satu perlawanan, tetapi itu bukanlah masalah besar.
“Fokus pasukan ketika ini adalah untuk meraih slot ke separuh akhir secepat mungkin dan ia akan direalisasikan jika perlawanan berakhir dengan kemenangan,” katanya pada sidang akhbar secara virtual semalam.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui masih tidak mendapat ‘berita gembira’ apabila empat pemain kekal disisihkan ekoran positif Covid-19 iaitu Akhyar Rashid, Quentin Cheng, Faisal Halim dan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.
“Kita masih lagi kehilangan khidmat empat pemain ini untuk perlawanan menentang Vietnam dan ini adalah realiti yang harus kita hadapi.
“Saya harap baki pemain yang ada tidak kira siapa diletakkan dalam kesebelasan utama dapat memberikan yang terbaik, tetapi pada masa sama perlu waspada dengan ancaman Vietnam khususnya menerusi serangan balas pantas yang menjadi senjata utama mereka,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara menang ke atas pasukan Naga Emas itu adalah pada separuh akhir Piala AFF Suzuki edisi 2014 dengan kemenangan agregat 5-4.
Sumber : Sukan Kosmo