Pendahulu senarai penjaring terbanyak, Safawi Rasid menggesa rakan-rakan Harimau Malaya tidak terlalu selesa ketika berdepan dengan pasukan Vietnam selepas mereka memulakan saingan Piala AFF dengan langkah kanan.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, ini kerana Malaysia akan berdepan dengan ujian sebenar dalam kejohanan tersebut apabila dijadualkan menentang pilihan utama, Vietnam esok di Stadium Bishan, Singapura.

“Malaysia dah tetapkan dalam fikiran bahawa kami kena fokus satu persatu dahulu perlawanan.

“Dua kemenangan ke atas Kemboja dan Laos yang dicatatkan sedikit sebanyak telah meningkatkan motivasi pemain Harimau Malaya ketika ini.

“Bagaimanapun saya harap pasukan tidak terlalu selesa kerana kita masih ada perlawanan getir yang harus ditempuhi bersama.

“Sudah pasti barisan pemain perlu meningkatkan prestasi,” kata Safawi yang setakat ini telah meledak 4 gol dalam saingan Piala AFF 2020, kelmarin.

Harimau Malaya tidak pernah menang terhadap Vietnam dalam lima pertemuan terakhir sebelum ini apabila seri sekali dan selebihnya tewas.

Kali terakhir Malaysia menang ke atas Vietnam pada Disember 2014 menerusi keputusan 4-2 dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala AFF.

Sumber : Utusan Malaysia

Foto : AFF