Skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2020 di Singapura sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya membenam pasukan Kemboja dengan 3-1.

Skuad Harimau Malaya mendahului Kemboja 1-0 hasil sepakan penalti yang diambil oleh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid. Penalti pada minit ke 23 itu dihadiahkan kepada Malaysia setelah Akhyar Rashid dijatuhkan oleh pertahanan Kemboja dalam kotak penalti.

Kedudukan tidak berubah sehingga tamat separuh masa pertama.

Akhyar Rashid menambah jaringan pada minit ke 61 dan pada minit ke 79, Kogileswaran pula menjadikan kedudukan 3-0 Malaysia di hadapan.

Kemboja dihadiahkan sepakan penalti pada minit-minit terakhir perlawanan dan tidak disia-siakan oleh Rosib Sath.

Kemenangan 3-1 itu melegakan skuad Harimau Malaya dan seterusnya meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan B. Perlawanan satu lagi adalah antara Laos bertemu Vietnam pada pukul 8.30 malam ini.

Perlawanan seterusnya bagi Malaysia adalah pada hari Khamis, 9 Disember menentang Laos.

Malaysia perlu berasa di tangga dua teratas bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir nanti.

Dalam perlawanan menentang Kemboja tadi, skuad Harinau Malaya dibarisi oleh enam penain kesebelasan utama dari JDT iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rasid, Syafiq Ahmad, Guilherme de Paula, Shahrul Saad dan Aidil Zafuan.

Manakala Arif Aiman dimasukkan pada minit ke 75 perlawanan menggantikan Safawi Rasid.

Kredit Foto : FAM