Arif Aiman yang juga pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), turut membantu JDT ke final Piala Malaysia 2021 dan menjuarai Liga Super lapan musim berturut-turut kini nilai atau ‘saham’nya akan melonjak naik.
Sabtu lepas beliau telah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21).
Menurut laporan dan semakan dari Sukan Metro, melalui laman sesawang www.transfermarkt.co.uk, nilai Arif pada 21 Julai 2021 adalah pada tanda harga 120,000 Euro (RM596,000).
Nilai Arif Aiman dijangka akan naik sehingga mencecah 150,000 Euro (RM716,000) selepas beliau membantu skuad JDT menjuarai Liga Super dan beraksi di pentas final Piala Malaysia serta diumumkan sebagai pemenang MVP musim ini,
Kenaikan sebanyak hampir RM200,000 itu memang tepat pada masanya, dan kemungkinan tanda harga Arif bakal melonjak lagi jika dia berjaya membantu skuad Harimau Malaya di Piala AFF di Singapura ketika ini.
Menurut Effendi Jagan Abdullah selaku ejen pemain, nilai pemain sayap lincah itu boleh mencecah hingga sejuta hujung tahun ini jika dia mampu menyerlah bersama skuad negara.
Jelas Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu lagi, faktor utama yang menyebabkan nilai Arif meningkat juga disebabkan oleh jenama JDT yang cukup gah antara kelab terbaik di rantau ini.
“Peningkatan nilai Arif itu kalau ikutkan disebabkan banyak faktor. Bukan saja kerana dia menang MVP dan piala musim ini, tetapi juga oleh sebab nama JDT.
“Apabila seseorang pemain bermain dengan kelab besar, nilai pemain juga akan mudah meningkat. Contohnya di Eropah, nilai pemain di sana akan tinggi kalau datang dari kelab ternama dan hebat, tetapi kalau kelab biasa-biasa, nilai mereka mungkin rendah.
“Faktor usia Arif, 19 tahun, yang muda juga menyumbang kepada kenaikan nilai dia. Tetapi saya jangkakan, kalau dia boleh bermain baik dengan skuad negara di Singapura dalam Piala AFF nanti, mungkin nilai dia akan naik sampai RM1 juta.
“Bila dia main untuk negara di pentas antarabangsa, nilai dia akan naik lebih tinggi dan ia baik untuk dirinya dan kelab dia juga,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, Arif melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku pemenang MVP dalam majlis ABK21 yang diadakan secara virtual itu.
Lebih menarik lagi, pemain berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain paling muda berjaya merangkul anugerah utama. Sebelum itu rakan sepasukannya, Safawi Rasid, melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.
Arif, yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi kelapan Liga Super musim ini selain Piala Sumbangsih turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik.
Sumber : Sukan Metro
Foto : The Photoshooterz