Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad yang kini bersama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui, luka lama di Hanoi pada 2018 masih berdarah selepas tewas kepada Vietnam di final, sekali gus terlepas peluang menjulang Piala AFF.

Shahrul akan membuat penampilan ketiga dalam kejohanan bola sepak Asia Tenggara itu memasang impian untuk menebus kekecewaan dan seterusnya ingin membawa pulang trofi itu ke Malaysia buat kali pertama sejak 2010.

Pemain yang terkenal dengan julukan Badak, di Asia Tenggara itu berkata, tiada pasukan yang boleh dianggap benar-benar menonjol, sebaliknya peluang amat terbuka buat semua negara.

“Saya masih tidak boleh lupakan kenangan pahit 2018 itu, ini peluang terbaik untuk saya dan rakan lain menebus kekecewaan. Memang harap untuk mendapatkan kejuaraan di Singapura.

“Skuad kali ini dan 2018 ada perbezaan kerana ramai pemain tidak menyertai pasukan kali ini tetapi saya tetap percaya dengan rakan-rakan yang menggalas tanggungjawab,” katanya apabil ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Apabila ditanya mengenai tahap kecergasan dan kecederaan lutut yang memaksa Shahrul berehat hampir enam bulan, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjelaskan dia sudah pulih sepenuhnya.

“Selepas menjalani tempoh pemulihan dan mendapatkan latihan yang terbaik di JDT. Sekarang semuanya dalam keadaan baik dan saya bersedia sepenuhnya untuk bersama pasukan kebangsaan,” ujarnya.

Sementara itu, Shahrul menyeru rakan sepasukannya untuk mula memberi fokus pada perlawanan pertama dan paling penting adalah meraih kemenangan apabila menentang Kemboja, Isnin nanti.

“Bagi saya perlawanan pertama sangat penting untuk kita mendapatkan kemenangan namun sedar Kemboja mesti beri saingan sengit. Tentang tempoh latihan yang singkat, ia tidak boleh dijadikan alasan dan apa saya lihat pemain semua telah beri yang terbaik,” kata Shahrul.

Tiga tahun lepas, skuad negara tewas 2-3 secara agregat di pentas final kepada Vietnam selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Kuala Lumpur, sebelum Malaysia tewas 0-1 pada aksi timbal balik di Hanoi.

Sumber : Utusan Malaysia 

Foto : The Photoshooterz