Pasukan KL City FC, Selasa lepas, telah menamatkan kemarau selama 32 tahun dengan menjuarai Piala Malaysia Edisi ke-100 setelah menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan dua gol tanpa balas.

Dua hari berikutnya, Khalid Samad, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), pula melaungkan keyakinan KL City akan mempertahankan kejuaraan itu pada musim hadapan.

Khalid Samad juga turut yakin bukan hanya Piala Malaysia, kejuaraan Liga Super juga akan bakal menjadi milik mereka pada tahun 2022.

Dalam pada itu, beliau berharap Menteri Wilayah Persekutuan supaya dapat menyerahkan semula Stadium Kuala Lumpur kepada KLFA bagi membolehkan impian mendakap dua piala tahun depan dapat direalisasikan.

“Saya harap menteri boleh mempertimbangkan keputusan itu kembali untuk berikan sokongan lebih padu.

“Tahun depan InsyaAllah, saya minta maaflah kepada Johor, Kedah, Terengganu dan sebagainya. Tahun depan kita akan jadi juara liga dan juara Piala Malaysia. InsyaAllah,” kata Khalid Samad.

Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada semua yang membantu kejayaan pasukan itu, termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Khalid juga sempat ‘mengusik’ Shahidan yang tidak dijemput turun ketika majlis penyampaian piala baru-baru ini namun Ahli Parlimen Shah Alam itu mengakui, beliau juga sebenarnya tidak dijemput.

“Tapi saya ambil dasar “malu apa bossku”. Walaupun tak dijemput, saya turun saja kerana saya tahu, ini tak sama dengan “malu apa bossku” kerana dalam kes saya, saya berhak.

“Sebagai Presiden KLFA, sama ada dijemput atau tidak dijemput tapi apabila pasukan saya menang, memang sepatutnya saya ada di sana,” ujarnya.

Sumber : Astro Awani

Foto : The Photoshooterz