Prestasi hambar tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid yang dilihat bergelut dalam mempamerkan aksi terbaiknya musim ini terus menjadi perdebatan antara kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan.
Safawi Rasid seperti yang dilaporkan oleh Sukan Berita Harian tidak akan berasa ‘goyah’ jika terdapat pemain lain lebih menyerlah dalam skuad Harimau Malaya.
Safawi turut berkata, situasi berkenaan memberinya peringatan supaya tidak berasa terlalu selesa ketika berada di kemuncak kariernya.
“Bagi saya itu adalah lumrah. Sebagai pemain bola sepak sudah pastinya ada naik dan turun, mungkin tahun ini prestasi saya buruk namun mungkin musim depan berbeza.
“Sebagai pemain bola sepak, kita tidak selalunya berada di atas kerana jika terlalu lama berada di tempat itu mungkin rasa sangat selesa sehingga menjejaskan prestasi.
“Ketika ini perasaan adalah seperti saya mula bermain bola sepak dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki prestasi untuk kembali seperti dahulu.
“Bagi saya tiada masalah jika ada pemain lain lebih menyerlah kerana perkara penting adalah memberi kelebihan kepada pasukan,” katanya, pada sesi latihan pusat Fasa 2 skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, petang tadi.
Menyedari situasi beliau kurang menyerlah pada musim ini, Safawi akan ‘reset’ kembali prestasi dan keadaan dirinya untuk tampil lebih baik pada musim hadapan.
Tambahan pula, beberapa perlawanan di saingan Liga Super dan Piala Malaysia, Safawi hanya diturunkan hanya sebagai pemain gantian berikutan dikatakan sudah hilang ‘bisa’ untuk menjaringkan gol.
Sumber : Berita Harian
Foto : The Photoshooterz