Terengganu FC (TFC) terus dirundung malang apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut menerusi keputusan 0-1 dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebenar tadi.

Keputusan itu menyaksikan peluang TFC memburu gelaran naib juara semakin malap selepas kekal mengumpul 37 mata, dua mata di belakang Kedah yang kini berada di p tangga kedua dengan saingan hanya berbaki satu perlawanan.

JDT yang turun selaku pasukan pilihan mula memberi amaran seawal minit ketiga menerusi sepakan percuma Safawi Rasid yang berjaya ditepis keluar penjaga gol TFC, Mohd. Suhaimi Husin.

Tersentak dengan percubaan lawan, tuan rumah memperkemaskan rentak melalui tandukan pemain import, Argzim Redzovic yang menerjah jaring namun dibatalkan pengadil kerana offsaid pada minit ke-18.

Walaupun menguasai tempo permainan, anak-anak buah Benjamin Mora terpaksa menanti sehingga masa tambahan babak pertama untuk memecahkan kebuntuan.

Berpunca percubaan deras Akhyar Rashid, bek tengah, Shane Lowry, yang tidak dikawal mudah menyudahkan bola muntah untuk membawa kedudukan 1-0 ke bilik persalinan.

Memasuki babak kedua TFC hanya mampu menguji kubu pelawat menerusi percubaan jauh Lee Tuck yang gagal menepati sasaran pada minit ke-50.

Kem JDT hampir diceriakan gol kedua malangnya tandukan Bergson Da Silva (m-72) terkena tiang sebelum sepakan percuma Leandro Velasquez pada minit ke-80 pula ditepis penjaga gol.

TFC terpaksa berputih mata selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat gagal menyudahkan dengan cermat hantaran Tuck pada minit ke-84 dan kedudukan 1-0 berpihak JDT kekal sehingga wisel penamat.

Sumber : Kosmo Online

Foto : The Photoshooterz