Sebelum ini, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) diberitakan berminat dengan kelab-kelab elit di sekitar Eropah seperti Valencia dan kelab-kelab  Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Manchester United. Walaupun ia belum menjadi kenyataan lagi, namun ia menunjukkan keinginan dan matlamat TMJ di satu ketika nanti.

Hari ini seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian melalui temubual dengan Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, TMJ sudah tentu mempunyai perancangan lebih besar selepas memberikan bayangan kemungkinan meninggalkan skuad Harimau Selatan.

Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Tunku Ismail berkemungkinan mahu mencari cabaran baharu dan misi lebih besar selepas memacu JDT ke puncak kejayaan sejak beberapa musim lalu.

“Kita semua tahu komitmen dan dedikasi Tunku dalam sukan bola sepak. Tunku tidak akan tinggalkan JDT dan bola sepak begitu sahaja.

“Semua orang tahu bagaimana Tunku membina JDT sehingga pasukan itu berada pada tahap sebegini, dikenali selain mempunyai fasiliti yang antara terbaik di Asia Tenggara.

“Saya tidak tahu apa perancangan Tunku, tapi saya percaya Tunku mempunyai misi yang lebih besar selepas berjaya membawa JDT ke satu tahap yang cukup membanggakan.

“Lagipun, kalau setakat Liga Malaysia ini, JDT dah capai apa yang mereka mahukan. JDT juga akan menang liga buat kali kelapan berturut-turut dan ia sejarah di negara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada Isnin lepas, Tunku Ismail seolah-olah memberi bayangan untuk meninggalkan JDT menerusi satu komen yang ditinggalkan di laman sosial Instagram kelab berkenaan.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam kenyataan ringkasnya itu menyatakan bahawa kejuaraan Liga Super kelapan yang bakal diraih DT musim ini merupakan  hadiah terakhirnya buat skuad Harimau Selatan.

Sumber : Sinar Harian