Perlawanan malam ini amat dinanti-nantikan oleh rata-rata penyokong kelab Johor Darul Ta’zim (JDT). Mereka menunggu saat-saat sejarah yang bakal dicipta oleh pasukan kesayangan mereka. 

Namun terlebih dahulu JDT mesti menang atau mengutip tiga mata penuh malam ini.

Hanya tiga mata memisahkan JDT daripada bergelar juara Liga Super kelapan berturut-turut, dan mereka sudah berkira-kira untuk mengadakan pertunjukan bunga api jika menewaskan Sri Pahang malam ini.

Kemenangan malam ini ke atas Tok Gajah akan membolehkan Harimau Selatan memperbaharui rekod yang dimiliknya sendiri dengan mengekalkan penguasaan Liga Super sejak 2014.

Melihat kepada rekod dan statistik, Sri Pahang yang dibim­bing oleh Dollah Salleh kelihatan sukar untuk menangguhkan hajat Johor menjulang kejuaraan lebih awal.

Di ambah pula, Sri Pahang tidak berada di prestasi terbaik selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka, selain perlu beraksi di gelanggang keramat Harimau Selatan.

JDT yang dibim­bing jurulatih dari Mezico, Benjamin Mora sebaliknya berada pada tahap terbaik dengan memenangi lapan perlawanan Liga Super terakhir.

Skuad Harimau Selatan juga meledak 20 gol dan hanya membenarkan gawang mereka dibolosi dua kali.

Menurut jurulatih kece­r­gasan JDT, Jorge Alvarez, pemain mereka sudah berada di ‘awang-awangan’ kerana membayangkan trofi Liga Super hampir dalam dakapan.

Katanya, pemain terlalu gembira dan tidak sabar untuk menamatkan 90 minit permainan menentang Sri Pahang bagi ­merealisasikan impian dan sasaran sejak dari awal musim lagi.

“Sudah pastinya kejayaan mengesahkan kejuaraan Liga Super di laman sendiri menjadi memori sangat istimewa buat para pemain.

“Cumanya, suasana sangat berbeza kerana kejayaan gemilang itu tidak dapat dikongsikan dengan puluhan ribu penyokong di stadium disebabkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, pemain tidak boleh terlalu gembira hingga hilang fokus kerana sudah terbayangkan piala Liga Super.

“Sudah tentu mereka akan memberi tumpuan penuh bagi mengutip tiga mata untuk mengesahkan gelaran itu,” ujarnya.

Seandainya gagal me­ngalahkan Pahang malam ini, JDT masih ada dua lagi perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan.