Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk menjulang Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

Ia akan menjadi satu lagi sejarah yang bakal di cipta oleh JDT apabila Liga Super musim ini menghampiri ke penghujungnya. Berbaki lagi 3 perlawanan sudah pasti JDT tidak mahu melepaskannya.

Dalam keadaan sebegini sudah tentu ia akan menyemarakkan lagi api semangat pemain-pemain JDT untuk melaksanakan hasrat dan impiannya.

Baki tiga perlawanan JDT adalah menentang Sri Pahang (27 Ogos) di Stadium Sultan Ibrahim, Terengganu FC (4 September) di Stadium Sultan Mizan dan akhirnya menentang Kuala Lumpur City pada 12 September di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

JDT berpeluang menjulang kejuaraan Liga Super musim ini pada Jumaat, 27 Ogos ini di Stadium Sultan Ibrahim apabila menerima kunjungan pasukan Sri Pahang. Seperti mana yang ramai ketahui, JDT hanya memerlukan hanya 3 mata untuk mencapai matlamat tersebut.

Dalam erti kata lain, jika perlawanan malam esok berakhir dengan kemenangan, JDT akan dinobatkan juara Liga Super 2021, tahun kelapan berturut-turut. JDT mempunyai kelebihan memenangi perlawanan itu kerana bermain di laman sendiri yang sudah tentu memberi semangat tambahan buat pemain-pemain JDT.

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) baru sahaja memenangi perlawanan mereka semalam ketika menentang Petaling Jaya City. KDA FC berjaya mengumpul 35 mata hasil dari 17 perlawanan (2 perlawanan kurang dari JDT). Mereka mempunyai baki 5 perlawanan lagi selepas ini.

Mengikut pengiraan, JDT hanya memerlukan 3 mata sahaja lagi untuk merebut kejuaraan. Tiada pasukan lain yang boleh menghalang termasuk KDA FC walaupun memenangi kesemua baki perlawanan.

Sementara itu perebutan Kasut Emas menjadi lebih sengit antara Ifedayo dari Selangor dan Bergson da Silva. Selepas 19 perlawanan Ifedayo mendahului jumlah jaringan dengan 21 gol berbanding dengan Bergson yang mengekori rapat, 20 gol..

Melalui laporan dari Arena Metro, skuad kendalian Dollah Salleh difahamkan  tempang selepas enam tonggak utama mereka tidak dapat diturunkan pada perlawanan malam esok. Bagaimana pun barisan pemain Mora diharap tidak termakan dengan helah skuad Tok Gajah yang mungkin mencipta `perang psikologi’ untuk berdepan JDT.

JDT sehingga 19 perlawanan telah mengutip 48 mata melalui 15 kemenangan dan 3 kali seri disamping 1 kekalahan. JDT hanya tewas dengan pasukan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 24 April lepas.