Kedah Darul Aman FC sebentar tadi berpesta gol menewaskan Petaling Jaya (PJ) City 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Dengn ini Kedah Darul Aman FC terus menghidupkan peluang mereka untuk memburu kejuaraan Liga.
Namun kejayaan itu di samping mempunyai baki 5 perlawanan, ia seakan menjadi satu keajaiban sekiranya dapat mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT). Ia boleh dianggap sudah terlambat.
Tiga mata ke atas PJ City amat penting buat skuad Helang Merah yang kini sudah merakam tiga kemenangan berturut-turut sekali gus melonjak ke tangga ketiga daripada kedudukan kelima dengan 35 mata selepas 17 perlawanan.
Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu bermula cemerlang dengan menjaringkan gol pertama seawal minit keempat menerusi set-piece menarik daripada sepakan percuma yang disempurnakan oleh Rabih Ataya.
Biarpun perlawanan dilihat lebih seimbang antara kedua-dua pasukan selepas itu, namun Kedah tetap berjaya membawa kelebihan dua gol pada hujung separuh masa pertama menerusi jaringan sendiri pemain PJ City, K. Prabakaran.
Ia berpunca daripada hantaran Tchetche Kipre yang cuba ditanduk Kpah Sherman tetapi bola terkena kepala Prabakaran sebelum melambung masuk ke dalam gawang menewaskan penjaga gol PJ City, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Hasrat Sherman untuk meledak gol peribadi ke-12 musim ini tercapai apabila penyerang dari Liberia itu memastikan jaringan ketiga pada minit ke-55 sebelum Fayadh Zulkifli melengkapkan pesta gol keempat Kedah di hujung permainan.
PJ City ternyata berdepan kesukaran untuk bangkit mencari satu mata dalam aksi itu apatah lagi terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Raffi Nagoorgani diarahkan keluar padang kerana kad kuning kedua pada minit ke-71.
Skuad The Phoenix kendalian P. Maniam terpaksa akur tewas kali kelima berturut-turut walaupun berjaya menjaringkan satu gol ke atas Kedah menerusi jaringan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-61.
Meskipun menang, ia tetap dilihat sukar untuk Kedah memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berkelebihan selesa 13 mata sebagai pendahulu Liga Super.
Sebaliknya, JDT tentunya sedang bersiap sedia untuk menjulang gelaran kelapan Liga Super berturut-turut sekiranya berjaya menewaskan Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat ini.
Foto : Kedah Darul Aman FC