Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus konsisten dalam mempertahankan kelebihan di tangga teratas Liga Super selepas bekerja keras menundukkan Melaka United FC, 1-0 di Stadium Hang Jebat, Selasa lepas.
Jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Bergson da Silva pada minit kedua sudah memadai buat anak buah Benjamin Mora meraih kemenangan kali keenam berturut-turut di pentas Liga Super.
Mora yang ditemui selepas sidang media perlawanan menyifatkan pertemuan dengan Melaka antara aksi sukar sambil memuji kewibawaan lawan kerana berjaya memberikan tentangan sehingga penghujung perlawanan.
“Melaka bermain bijak pada hari ini malah pemain importnya cukup bagus, sesuatu yang baik untuk Liga Malaysia dan kami bernasib baik apabila mendapat sepakan penalti pada awal permainan dan berjaya disudahkan oleh Bergson.
“Bukan mudah untuk pemain apabila mereka kena seimbangkan antara berikan tekanan kepada lawan serta bermain secara dinamik sepanjang waktu perlawanan.
“Kami memang mempunyai beberapa peluang untuk mendapatkan keputusan yang lebih selesa tetapi peluang tidak disempurnakan terutama menerusi
Gonzalo Cabrera pada babak pertama manakala di separuh kedua melalui Bergson, Arif Aiman dan yang terakhir sekali menerusi Mohamadou Sumareh.
“Mungkin kami boleh menang dengan dua atau tiga jaringan tetapi tidak terjadi pada kali ini kerana bukan selalu dalam bola sepak kami boleh sempurnakan semua peluang yang ada.
“Cuma yang baiknya adalah pasukan ini punyai sistem penggiliran pemain yang menjadi setakat ini dan membuka ruang kepada semua pemain sentiasa berada dalam keadaan terbaik dalam tiap perlawanan, ” katanya.
Sumber : Malaysia Gazette