Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu berwaspada dengan muslihat Melaka United (MU) kerana percaya pasukan itu boleh mencipta kejutan ketika bermain di laman sendiri seperti yang dilakukannya ketika menewaskan Terengganu FC 2-0 sebelum ini.
Pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora menuntut anak buahnya untuk mengutip tiga mata penuh di Stadium Hang Jebat apabila berdepan Sang Kancil dalam aksi Liga Super pada malam ini.
Benjamin Mora berkata, kemenangan itu amat penting bagi membolehkan JDT menghampiri merebut trofi Liga Super kelapan berturut-turut sejak memenanginya pertama kali pada 2014.
“Setiap kali bertemu Melaka, ianya pasti menjadi satu perlawanan yang sengit kerana pasukan itu bermati-matian untuk mencalar keegoan JDT lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri.
“Kami tahu bagaimana pentingnya buat pasukan untuk memenangi perlawanan ini. Sekiranya kami mampu meneruskan rentak kemenangan, maka kami selangkah menghampiri gelaran juara Liga Super buat musim kelapan,” katanya.
JDT kini selesa berada di puncak liga dengan lapan mata selepas pencabar terdekatnya, Terengganu terlepas peluang memberi tekanan setelah seri tanpa jaringan dengan Sabah kelmarin.
Kata Mora, semua pemain Harimau Selatan berada di tahap yang terbaik bagi mengharungi enam baki perlawanan. Leandro Velazquez akan kembali menyertai pasukan setelah pulih daripada kecederaan.
Pengendali dari Mexico itu turut memberi bayangan akan menggandingkan dua bek import, Shane Lowry dan Mauricio Dos Santos bagi membentuk benteng pertahanan ampuh.
Sumber : Utusan Malaysia
Foto : The Photoshooterz