Johor Darul Ta’zim (JDT) bertekad mahu meneruskan rentak kemenangan dalam misi membenam cabaran kelab dari Korea Selatan, Pohang Steelers dalam aksi saingan kumpulan G Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada malam ini.
Benjamin Mora, pengendali JDT berkata, perlawanan tersebut dijangka sengit namun mengharapkan kejayaan anak buahnya menundukkan Ratchaburi FC, 1-0 sebelum ini mampu dijadikan satu motivasi terbaik buat mereka.
“Motivasi amat penting dalam mana-mana sukan, adalah penting untuk pemain tahu apa yang mereka mahukan dan bagaimana untuk mendapatkan perkara tersebut.
“JDT dalam situasi yang amat baik dalam aspek mental dan emosi ketika ini selepas bersaing di peringkat tertinggi menentang pasukan hebat Nagoya Grampus dan Ratchaburi FC sebelum ini,” kata Mora dalam sidang akhbar menjelang pertemuan menentang Pohang Steelers di sini semalam.
Bagaimanapun, Mora mengakui jentera serangan perlu dipertajamkan lagi selepas anak buahnya banyak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol ketika perlawanan menentang Ratchaburi FC Jumaat lepas.
“Salah satu aset terbaik dimiliki kelab ini adalah mereka mempunyai banyak ruang untuk melakukan penambahbaikan dalam meningkatkan kualiti permainan.
“Jadi kami akan bermain dengan aura yang sama dalam menghasilkan peluang bagi memburu jaringan dan sudah tentu, kami mahu perbaiki penyudahnya dan saya yakin ia boleh dilakukan,” ujar Mora.
Ini kerana katanya, pemain JDT mempunyai kualiti dan kemahiran untuk mencapai matlamat tersebut.
Dalam sesi tersebut, Ketua Pasukan JDT, Farizal Marlias turut mengharapkan rakan sepasukannya dapat meneruskan rentak permainan dengan penuh disiplin sebagaimana yang ditampilkan ketika mereka melakarkan kemenangan ke atas Ratchaburi FC.
“Alhamdulillah, sudah tentu kemenangan itu dan ‘clean sheet’ memberi motivasi bukan sahaja buat diri saya tetapi seluruh pasukan.
“Saya tahu pemain JDT boleh beraksi dengan lebih baik dalam setiap perlawanan yang dihadapi mereka.
Farizal turut akui perlawanan menentang Pohang Steelers bukan satu perkara yang mudah.
JDT mengutip tiga mata selepas menundukkan Ratchaburi FC 1-0 dalam perlawanan kedua mereka selepas tewas 0-1 kepada Nagoya Grampus dalam perlawanan pembukaan bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
JDT berada di kedudukan tempat kedua di belakang Nagoya Grampus dengn mengutip tiga mata hasil daripada kemenangan ke atas Ratchaburi FC.
Manakala Pohang Steelers pula berada di tangga ketiga dengan tiga mata juga namun dibezakan oleh beza jaringan gol.
Dalam satu lagi perlawanan sebelum itu Nagoya Grampus akan bertemu Ratchaburi FC pasa pukul 6.00 petang.
Sumber : Sinar Online
Foto : AFC.com