Juara Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam Sabtu.

Pemain tengah berusia 21 tahun, Mohamad Hakimi Abdullah muncul wira skuad Penyu apabila berjaya menghukum kesilapan pemain pertahanan JDT pada minit ke-57 untuk gol kemenangan itu.

Kali terakhir TFC mencatatkan kemenangan ke atas JDT adalah ketika kempen Piala Malaysia pada Oktober 2018, manakala pertemuan selepas itu menyaksikan keputusan terikat sebanyak tiga kali dan JDT menang sebanyak tiga kali.

Keputusan itu juga mencalar rekod tanpa kalah JDT, yang belum tewas dalam sembilan perlawanan Liga Super musim ini, selepas kali terakhir tewas dalam aksi liga pada Julai 2019 di tangan Petaling Jaya (PJ) City FC dengan keputusan 0-1.

JDT bagaimanapun kekal di persada Liga Super dengan 23 mata daripada 10 perlawanan, diikuti TFC (21 mata) dan Kedah Darul Aman FC (20 mata).

Sumber : Sinar Harian / Foto : The Photoshooterz