Perlawanan minggu kelapan Liga Super malam tadi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, menyaksikan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mudah membelasah pasukan PJ City 3-0. Dengan kemenangan itu, JDT kekal berada di tangga teratas liga dengan mengutip 20 mata.
Walaupun begitu, pengendali JDT berasal Mexico, Benjamin Mora, menafikan perlawanan itu mudah bagi JDT. Sebaliknya beliau menganggap pasukan PJ City bukannya mudah untuk ditewaskan.
“Siapa kata senang untuk jinakkan PJ City FC. Mereka tidak mudah ditewaskan dan bukan lawan yang mudah kerana mereka tidak melepaskan gol pada aksi pertama sepanjang musim ini.” kata Mora.
Menurut laporan dari Metro Arena, Mora menambah, “Tugas sukar juga untuk memecahkan lima atau enam pertahanan mereka yang beraksi secara kompak. Tapi kami guna taktikal berbeza pada perlawanan itu dan ia membawa kepada jaringan awal pada minit pertama.
JDT bertindak garang apabila tidak mengambil masa yang lama, berjaya membolosi gawang PJ City seawal minit pertama melalui tandukan cantik Gonzalo Cabrera.
“Selepas gol awal itu, kami sedar pasukan lawan sudah mula tertekan dan kami ambil kesempatan apabila bertali arus melancarkan serangan dan gerakan itu kerap bermula di posisi tengah dan kemudian mengembang ke sayap kiri dan kanan,” tambah Benjamin Mora.
Dua gol seterusnya diperoleh melalui penyerang import JDT, Bergson da Silva di minit ke 20 dan 30.
Mora turut mendedahkan taktikal permainan JDT diubah bagi memastikan barisan pemain tidak terperangkap dengan jerat skuad bimbingan P Maniam.
P. Maniam akui hilang konsentrasi di babak pertama menjadi punca utama skuadnya tewas.
“Fokus pemain hilang selepas mudah membiarkan pemain JDT menjaringkan tiga gol pada babak pertama. Malah di awal permainan pemain saya bagaikan hilang konsentrasi dan terlalu membiarkan pemain lawan menguasai permainan.
“Apapun, pada babak kedua kami mula menemui rentak permainan dan jarang melakukan kesilapan terutama umpanan bola kepada rakan sepasukan dan mereka juga cuba beri tekanan terhadap benteng JDT.
“Kami juga mencipta dua peluang mencipta jaringan di babak kedua tapi nasib kurang baik apabila tidak menemui sentuhan penyudah.”
Skuad Harimau Selatan akan bertemu Sei Pahang dalam perlawanan berikutnya pada Jumaat, 16 April di Stadium Darul Makmur.
Sri Pahang sebelum ini tewas di tangan Kuala Lumpur di tempat lawan dan ketik ini menduduki tangga ke 11, kedua tercorot carta liga.
Sumber : Harian Metro // The Photoshooterz.