Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga selepas berjaya menundukkan Sabah FC 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Dalam perlawanan malam ini menyaksikan JDT kembali menurunkan penjaga gol utama mereka, Farizal Marlias dan Natxo Insa yang terpaksa terlepas perlawanan sebelum ini. Adam Nor Azlin dan S. Kunanlan juga turut diberi kepercayaan sekali lagi berada dalam kesebelasan utama JDT malam ini.

JDT mengejutkan pasukan tuan rumah seawal minit ke 7 setelah pemain muda JDT, Arif Aiman berjaya menewaskan penjaga gol Sabah FC, Rendy Rining. Gol kedua peribadi Arif Aiman musim ini benar-benar menyentap Sabah FC yang masih dalam keadaan menyesuaikan permainan.

Belum sempat keadaan kembali tenang bagi Sabah FC, penyerang import JDT, Bergson da Silva pula mendapat giliran menambah jaringan seminit selepas jaringan Arif Aiman. Gol tersebut adalah hasil bantuan hantaran dari Afiq Fazail yang melambung bola untuk Bergson yang pada awalnya dapat ditampan oleh penjaga gol namun bola yang terlepas kawalan itu dapat disudahkan oleh Bergson.

Bagi Arif Aiman, perlawanan malam ini adalah merupakan rekod peribadinya apabila membuat penampilan dalam kesemua tujuh perlawanan Liga Super musim ini. Ia termasuk penampilan sepenuh masa dalam dua perlawanan menentang UiTM FC dan Selangor FC.

Di akhir separuh masa pertama, Saddil Ramdani hampir berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias apabila percubaan beliau dapat ditampan dengan kaki oleh Farizal. Keadaan kelam kabut di depan pintu gol JDT ketika itu dapat diselamatkan oleh pertahanan JDT. 

Natxo Insa yang baru kembali semula selepas digantung perlawanan sebelum ini menentang Melaka United FC telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil selepas dilihat mengasari pemain Sabah FC. Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama. 

Sabah FC berjaya merapatkan kedudukan setelah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-56 apabila bola terkena tangan pemain pertahanan JDT, Adam Nor Azlin dalam petak penalti JDT. Peluang tersebut tidak disia-siakan oleh Levy Madinda menjadikan perlawanan yang berkedudukan 1-2 kembali rancak.

Seminit selepas jaringan tersebut, Sabah terpaksa bermain dengan sepuluh orang pemain setelah Maxsius Musa yang sebelum ini telah dilayangkan kad kuning sekali lagi dipersalahkan dan tanpa teragak-agak pengadil melayangkan kad merah kepada pemain tersebut.

JDT berjaya menambah jaringan pada minit ke-67 melalui rembatan kencang dari Bergson tidak berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Sabah FC menjadi kedudukan 3-1. Gol kedua Bergson dalam perlawanan malam ini melalui hantaran lintang yang cantik dari Arif Aiman dari sebelah kanan padang, dibiarkan oleh Leandro Velazque kepada Bergson lalu terus tanpa kesilapan menewaskan Rendy Rining.

Gol Bergson itu juga merupakan gol peribadi ke 6 buat Bergson sejak bersama JDT melalui  5 penampilan beliau sejak perlawanan menentang UiTM FC. 

Leandro Velazquez menambah siksa Sabah FC apabila berjaya menambah jaringan melalui sepakan penalti di minit ke-86 setelah seorang pemain Sabah FC dipersalahkan kerana bola terkena tangan pemain itu menjadikan kedudukan JDT mendahului 4-1.

Dengan kemenangan ke atas Sabah FC, JDT kekal di tangga teratas liga dengan mengutip 17 mata, 1 mata di hadapan Kedah Darul Aman FC.

Carta Liga Super oleh @BBST15

Keputusan Masa Penuh :

SABAH FC [1-4] JDT

(Levy Madinda-58’)

(Arif Aiman 7′ / Bergson da Silva 8′, 68, / Leandro Velazquez 87’ )

Kesebelasan JDT : Farizal Marlias (C), Adam Nor Azlin, Afiq Fazail, Bergson da Silva, Leandro Sebastián Velázquez, Gonzalo Cabrera, S. Kunanlan, La’Vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Maurício dos Santos Nascimento , Arif Aiman Hanapi

Simpanan : Haziq Nadzli, Aidil Zafuan, Hariss Harun, Feroz Baharudin, Danial Amier, Ramadhan Saifullah Usman, Akhyar Rashid, Nazmi Faiz, Syafiq Ahmad

Kesebelasan Sabah FC : Rendy Rining, Rawilson Batuil (C), Dendy Lowa, Risto Mitrevski, Levy Madinda, Sam Johnson, Alto Linus, Ricco Nigel Milus, Maxsius Musa, Mohd Syukri Baharun, Saddil Ramdani

Simpanan Sabah FC : Rozaimie Rohim, Mohd Azlizan Mohd Azlan, Bobby Gonzales, Hamran Peter, Jenius Karib, Randy Baruh, Amri Yahyah, Azwan Abd Fattah, Evan Wensley Wenceslaus.

Foto : The Photoshooterz