Juara bertahan Liga Super dan juara tujuh tahun berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan meneruskan cabaran dalam saingan Liga Super minggu ketujuh apabila akan menentang Sabah malam esok, 6 April 2021, di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Perlawanan yang akan berlangsung pada pukul 8.15 malam itu sudah tentu akan menjadi pertembungan yang menarik antara kedua-dua pasukan itu.
Sabah diketika ini menduduki tangga ke lapan liga dengan mengutip 5 mata hasil daripada satu kemenangan (bertemu Terengganu FC) dan dua kali seri bertemu Melaka United dan KL City.

Walaupun JDT berada jauh di atas tangga liga, namun JDT perlu berwaspada akan kebangkitan pasukan di bawah kendalian Kurniawan Dwi Yulianto.
Melalui laporan berita di Berita Harian, pengendali JDT, Benjamin Mora beranggapan perlawanan itu nanti dilihat sukar kerana corak permainan pasukan itu yang memiliki gaya permainan pantas apabila melakukan serangan balas.
“Kami akan menentang pasukan yang sukar untuk ditewaskan. Mereka akan cuba beri tentangan sengit seperti mana pasukan lain melakukannya apabila menentang kami.” kata Mora kepada wartawan Sukan Harian.
Pengendali berasal Mexico itu turut menambah, JDT perlu membuat persiapan yang lebih rapi kerana JDT mahu meneruskan momentum kemenangan dan mengelak dari membuat kesilapan mudah yang membolehkan pasukan Sabah mengambil kesempatan.
Melihat kepada kedudukan JDT dalam carta Liga Super selepas enam perlawanan, walaupun JDT berada di tangga teratas (14 mat), namun pencabar terdekatnya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengekori rapat dengan perbezaan hanya satu mata sahaja (13 mata). JDT tidak boleh lagi keciciran mata. Seri atau kalah akan mengakibatkan kedudukan akan diambil alih dan dipintas oleh KDA FC.
KDA FC, pada malam yang sama akan bertandang ke Stadium Petaling Jaya bertemu Selangor 45 minit selepas sepak mula antara Sabah dan JDT.
“Biarpun terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat, kami perlu memberi fokus melebihi 100 peratus bagi membentuk taktikal ampuh malah akan ada beberapa pemain simpanan yang akan dibawa masuk dalam kesebelasan utama,” kata Mora kepada wartawan sukan Berita Harian.
Melalui perlawanan menentang Melaka United FC (MUFC) Jumaat lepas, JDT dilihat menurunkan barisan pemain yang berlainan. Beberapa pemain diletak dalam kesebelasan utama mereka seperti Haziq Nadzli, Adam Nor Azlin, S. Kunanlan dan Hariss Harun. Itulah perlawanan kedua mereka berada dalam kesebelasan utama JDT kecuali Haziq Nadzli yang baru pertama kali membuat penampilan dengan JDT sejak berpindah ke JDT.
Antara pemain yang direhatkan pada malam itu adalah Natxo Insa, Matthew Davies, Aidil Zafuan, dan Farizal Marlias.
Mora amat mengutamakan kecergasan pemain dan proses pemulihan mereka selepas beraksi dalam jadual yang padat tidak menimbulkan masalah kerana mereka tahu kepentingan untuk berada di dalam keadaan fizikal yang mantap.
Mora menambah, walaupun jadual perlawanan begitu padat dan sukar bagi JDT untuk beraksi dalam perlawanan-perlawanan yang dianggap seperti aksi `final’ kerana perlu berdepan pasukan yang beraksi melebihi 100 peratus untuk tewaskan kami.
Bukti salah satu pasukan itu adalah Selangor. Selangor bermain cemerlang terutama panjaga golnya, Khairul Azahan yang sering menjadi hlangan terbesar JDT berjaya mendahului serta mengikat JDT seri 2-2 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 17 Mac lepas.
Namun tiga hari selepas itu, Selangor tewas 0-2 dengan pendatang baru Liga Super, Penang FC. Begitu juga dengan Perak yang berjaya mengikat seri 2-2 dengan JDT, namun selepas itu tewas pula dengan Penang FC 1-2.
“Namun begitu, persiapan tetap diteruskan dan sebab itu kami mempunyai jurulatih kecergasan dan kelengkapan bagi proses pemulihan yang serba canggih, malah semua itu dimanfaatkan oleh setiap pemain bagi kembali pulih sepenuhnya,” tambah Mora.
Sumber : Berita Harian // Foto : The Photoshooterz