Perlawanan keenam Liga Super buat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), menyaksikan JDT membenam Melaka United FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin. Ia menjadikan kemenangan keempat JDT musim ini selepas seri sebanyak dua kali berturut-turut sebelum ini.

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora meluahkan rasa puas hatinya setelah pasukan bimbingannya kembali menemui rentak kemenangan itu.

“Kemenangan itu sedikit sebanyak dapat me­ngubati kekecewaan gagal dalam dua perlawanan terdahulu menentang Perak FC dan Selangor FC yang berkesudahan dengan keputusan seri.

Pada perlawanan menentang Melaka United, Mora terpaksa merehatkan beberapa pemain utama mereka di­sebabkan jadual padat liga dan memberi peluang kepada pemain seperti Haziq Nadzli, Danial Amier Norhisham, Mohamadou Sumareh untuk membuat penampilan pertama bersama skuad utama Harimau Selatan.

“Bagi perlawanan ini, kami mempunyai masa untuk membuat persiapan rapi dan mengambil keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama bagi menghadapi jadual padat liga dan ini tidak menda­tangkan masalah buat kami kerana kami mempunyai skuad yang besar.” kata Mora.

“Ketiadaaan Natxo Insa yang dikenakan tindakan penggantu­ngan memberi ruang kepada Hariss Harun untuk mengemudi jentera tengah pasukan. Biarpun tidak membariskan pemain utama, pasukan bermain dengan baik.

Natxo Insa sebelum ini telah digantung untuk perlawanan bertemu Melaka United serta didenda sebanyak RM10,000 kerana didakwa menolak pengadil dalam perlawanan JDT menentang Perak pada 21 Mac lepas. Hukuman itu dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setelah bermesyuarat.

“Perlawanan seperti ini (menentang Melaka) pen­ting buat pemain yang kerap berada di bangku simpanan diberikan peluang untuk beraksi dan mereka beraksi penuh keyakinan, bersungguh-sungguh dan dahagakan kemenangan. Apa yang penting, kami berjaya me­ngutip tiga mata, tidak dibolosi dan kembali menemui rentak kemenangan,” ujar Mora.

Penyerang import JDT, Bergson Da Silva mencuri tumpuan apabila meledak dua gol manakala Sumareh yang beraksi buat kali kedua diturunkan juga memberi impak besar apabila membantu Bergson menjaringkan gol ketiga perlawanan.

Apabila ditanya mengenai penampilan pertama Haziq yang menggantikan Farizal Marlias sebagai benteng terakhir, Benjamin Mora berasa cukup berpuas hati dengan pemain muda itu yang memberikan keyakinan kepada rakan-rakan sepasukan untuk beraksi dengan baik.

Sebagai rekod, penampilan sulung (debut) itu adalah sejak Haziq Nadzli menyertai JDT pada tahun 2017. Debut beliau itu turut menyaksikan ‘clean sheet’ dan kemenangan pertamanya. 

Benjamin Mora turut menjangkakan Haziq bakal mempunyai masa depan cerah bersama skuad Harimau Selatan pada masa depan ­biarpun terpaksa berdepan dengan saingan dari Farizal Marlias dan Izham Tarmizi bagi posisi nombor satu itu.

“Sukar untuk memilih siapakah yang terbaik antara mereka bertiga. Bagi saya, mereka adalah tiga penjaga gawang terbaik negara. Haziq dilihat mampu menjadi lebih baik dan lebih matang dengan pendedahan diberikan seperti ini,” kata Mora.

Kemenangan malam itu menyaksikan JDT kekal berada di puncak carta liga dengan mengutip 14 mata, namun diikuti rapat satu mata di belakangnya oleh pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Perlawanan seterusnya bagi JDT adalah pada Selasa ini, 6 April di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah. Kemenangan adalah diharapkan supaya dapat menjarakkan lagi kedudukan dengan pencabar terdekat.

Sumber : Kosmo || Foto : The Photoshooterz