Pihak kerajaan telah membenarkan kehadiran penonton bermula pada 2 April dan ia akan dimulakan secara percubaan melibatkan dua buah venue perlawanan iaitu di Stadium Sultan Ibrahim serta perlawanan Kuala Lumpur FC menentang Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam pada keesokannya.

Sebelum perlawanan dimulakan, tinjauan di Stadium Sultan Ibrahim sejak jam 5 petang menyaksikan peminat sudah mula beratur mengikut jarak fizikal di pintu masuk yang ditetapkan.

Berikutan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah berpuas hati dengan pe­ngurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Protokol Pengurusan Penonton di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam itu.

Menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, aksi Harimau Selatan menentang Melaka United FC itu menjadi kayu ukur dan ‘pembuka laluan’ untuk stadium lain di seluruh negara menerima kehadiran penonton dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.

Bagi persediaan perlawanan itu, seramai 260 petugas yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Timbalan Setia Johor, marsyal stadium dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya bertindak menjlankan tugas memastikan pematuhan SOP dijalankan sebaik mungkin.

“Bagi perlawanan ini, KBS turut menjemput wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM untuk melihat sendiri dan menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan berlangsung.

“Tahniah buat pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang berjaya menyediakan protokol yang cukup komprehensif dan berkesan. Saya berpuas hati pematuhan SOP yang diuruskan oleh pihak pengurusan stadium JDT malam ini (Jumaat).

“Saya berharap ia akan menjadi penanda aras kepada usaha KBS meyakinkan MKN dan KKM untuk memberikan kebenaran bagi kemasukan penonton ke stadium untuk perlawanan sukan lain pada masa akan datang,” katanya.

Datuk Seri Reezal Merican dipetik berkata pada sidang akhbar selepas mengadakan pemantauan pelaksanaan SOP Protokol Pengurusan Penonton di Stadium Sultan Ibrahim di sini Jumaat lepas.

Dalam perlawanan malam itu juga, peminat mula dibenarkan masuk ke stadium pada pukul 6 petang dan mereka perlu mengimbas suhu, memakai cecair sanitasi serta mengimbas kod QR di pintu masuk automatik stadium berkenaan terlebih dahulu.

Dalam perlawanan tersebut yang dihadiri 2,000 penyokong, JDT berjaya menewaskan pasukan Melaka United FC 3-0 dalam aksi saingan Liga Super dan menyaksikan JDT kekal gah di tangga teratas carta liga. Gol-gol dijaringkan oleh Adam Nor Azlin dan dua gol oleh Bergson da Silva.

Jumlah empat gol jaringan Bergson menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak JDT sehingga LS6. Jaringan itu juga menyaksikan beliau berkongsi kedudukan dengan penjaring dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC) penjaring terbanyak Liga Super.

Sumber : Sukan Kosmo || Foto : The Photoshooterz