Juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT), mengekalkan kedudukan di persada liga setelah membenam Melaka United 3-0 malam tadi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam aksi Liga Super minggu keenam.
Rekod tanpa kalah Melaka United FC (MUFC), yang dianggap pakar seri, turut dileburkan oleh JDT hasil jaringan Adam Nor Azlin (4’) dan Bergson da Silva (8’ dan 82’).
MUFC di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan sebelum ini hanya menang sekali ke atas KL City dan empat kali seri kini menduduki tangga ke sembilan dengan mengutip 4 mata. Mereka turut didenda 3 mata setelah menghadapi masalah tunggakan gaji.
Rekod Tidak Pernah Kalah
JDT merupakan pasukan tunggal yang masih belum tewas sehingga kini selepas enam perlawanan dengan kutipan 14 mata dan kekal berada di atas carta liga. Mereka bangkit dengan kemenangan bergaya setelah seri dua perlawanan sebelum ini menentang Selangor FC dan Perak FC.
Namun JDT diikuti rapat oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang hanya berbeza 1 mata setelah KDA FC berjaya menewaskan Sri Pahang 3-1 malam tadi di laman sendiri. KDA FC sebelum ini tewas 0-2 di tangan JDT dalam perlawanan pembukaan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 Mac lepas.
Jaringan Dan Beza gol Tertinggi
Selain itu, JDT turut mencipta jaringan terbesar dengan 14 gol yang terhasil. Purata jaringan setiap perlawanan JDT mencecah 2.3 gol. Ia diikuti oleh KDA FC dengan jaringan sebanyak 10 gol.
Dua pasukan mencipta bolosan gol terendah iaitu JDT dan Penang FC (PFC) dengan hanya 3 gol. Penjaga gol JDT, Farizal Marlias mencipta ‘clean sheet’ dalam 3 perlawanan pertama JDT iaitu ketika menentang KDA FC, Penang FC dan UiTM FC.
JDT menambah satu lagi ‘clean sheet’ malam tadi setelah penjaga gol mudanya, Haziq Nadzli berjaya mengekang gawang gol dibolosi pasukan Melaka.
Selain itu perbezaan gol JDT adalah yang paling tinggi dengan 11 gol. Pasukan paling hampir adalah Kedah dengan perbezaan gol sebanyak 5 gol. Ia satu perbezaan yang ketara antara dua pasukan tersebut.
Setelah mencatat rekod tanpa kalah (invincible) pada musim lepas), kini JDT dilihat misi mereka ingin menyamai rekod tersebut pada tahun 2016 dicapai pada musim ini. Sebagai rekod, pada musim lepas, saingan liga hanya berlangsung satu pusingan sahaja iaitu sebanyak 11 perlawanan sahaja akibat pandemik Covid-19.
Pada musim ini, sekiranya keadaan semakin pulih, kenungkinan besar saingan akan berterusan seperti sedia kala iaitu 22 perlawanan.
JDT Ke Sabah Selasa Ini
Perlawanan seterusnya bagi JDT adalah menentang Sabah pada Selasa ini dalam usaha melebarkan rekod tanpa kalah. Tidak pasti lagi percaturan pengendali JDT, Benjamin Mora, dalam perlawanan itu. Adakah JDT akan menurunkan skuad utama atau hanya sebahagian seperti malam tadi.