Juara bertahan, kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), seperti yang sudah dijangka meneruskan penguasaan Liga Super musim ini setelah tiada menghadapi masalah berjaya membenam Melaka United FC dengan jaringan 3 -0.
Tuan rumah, JDT dikejutkan oleh pasukan pelawat seawal minit pertama perlawanan apabila percubaan dari penyerang Melaka United (MUFC), Sony Norde nyaris membuahkan hasil. Namun ketangkasan penjaga gol JDT, Haziq Nadzli berjaya menepis keluar menyelamatkan pintu gol JDT dari dibolosi.
Juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut, JDT, tidak mengambil masa yang lama untuk mendahului Melaka apabila pemain pertahanan JDT, Adam Nor Azlin berjaya menanduk masuk gol pertama perlawanan pada minit ke-4, menewaskan penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi. Gol pertama peribadi Adam musim ini, berpunca dari sepakan sudut di sebelah kanan pintu gol Melaka.
Penyerang import JDT, Bergson da Silva pula mengambil giliran menambah gol JDT setelah berjaya menjaringkan gol kedua JDT susulan dari kesilapan penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi. Bergson tanpa mensia-siakan peluang merembat masuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua dimulakan dengan sekali lagi Melaka United membuat kejutan pada minit ke-46 apabila penyerang kebangsaan Haiti, Sony Norde hampir berjaya merapatkan kedudukan. Namun rembatannya terkena tiang gol JDT walaupun Haziq Nadzli sudah kelihatan tertewas.
Pengendali JDT, Benjamin Mora, seolah-olah berpuas hati dengan permainan anak buahnya apabila tiada sebarang perubahan pemain dilakukan ketika pemain menyambung permainan di separuh masa kedua walaupun Mauricio kelihatan mengalami sedikit kecederaan di pertengahan babak pertama.
JDT mula membuat pertukaran pada minit ke-71 dengan menampilkan Danial Amier buat pertama kalinya bersama JDT menggantikan Afiq Fazail dan Sumareh menggantikan Cabrera. Danial Amier membuat debut setelah bersama JDT pada musim ini.
Sebaik pertukaran dilakukan, pintu gol JDT hampir dibolosi setelah Haziq Nadzli gagal menangkap kemas namun rembatan Fakhrullah Rosli tersasar sebelah kanan pintu gol JDT.
Bergson berjaya menambah jaringan hasil rembatan padu menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-82 perlawanan. Jaringan itu terhasil melalui bantuan dan lorongan dari pemain gantian, Mohamadou Sumareh yang melepasi pertahanan Melaka United.
Dengan jaringan Bergson itu, ia merupakan jaringan keempat peribadinya dan juga menjadi penjaring terbanyak JDT setakat ini.
Kelihatan di sini, ketiadaan Natxo Insa yang hukum gantung dua perlawanan tidak menjejaskan rentak permainan JDT malam ini. Malahan rata-rata JDT membariskan bukan pemain utama mereka sebentar tadi. Natxo Insa turut didenda sebanyak RM10,000 oleh Lembaga Tatatertib FAM.
Sehingga perlawanan keenam Liga Super, JDT kekal berada di tangga teratas dengan mengutip 14 mata hasil daripada empat kemenangan dan dua seri. Kedudukan di tangga kedua berubah kepada Kedah, apabila Kedah Darul Amin FC (KDA FC) berjaya menewaskan Sri Pahang 3-1 dan Terengganu FC (TFC) seri dengan PJ City FC 0-0.
Disamping itu, JDT menyambut kehadiran semula 2,000 penonton ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.
Ia adalah 384 hari sejak kali terakhir ‘pemain ke-12’ menikmati kemeriahan di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan itu.


JDT akan bertandang ke Kota Kinabalu bertemu Sabah untuk aksi ketujuh Liga Super 2021 pada 6 April akan datang.
Kesebelasan Utama JDT :
Haziq Nadzli (26), Adam Nor Azlin (3), Mauricio Nascimento (33), S. Kunanlan (12), Corbin Ong (22), Hariss Harun (14), Leandro Velazquez (10), Afiq Fazail (4), Arif Aiman (42), Gonzalo Cabrera (11), Bergson da Silva (9).
Simpanan JDT :
Farizal Marlias (1), Syamer Kutty Abba (5), Aidil Zafuan (7), Mohamadou Sumareh (13), Feroz Baharudin (15), Daniel Amier (16), Akhyar Rashid (19), Nazmi Faiz Mansor (21), Syafiq Ahmad (28).
Foto & Grafik : The Photoshooterz dan BBST15