Seperti yang telah diumumkan, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), akan bersidang hari ini bagi menentukan tindakan atau hukuman yang akan dijatuhkan kepada pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa yang dilihat ‘menolak’ pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin.
Tindakan Natxo Insa tersebut mengundang padah apabila pemain itu dikenakan penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.
Keputusan itu telah diumumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Baljit Singh Sidhu selepas jawatankuasa itu setelah selesai bersidang hari ini.
Baljit melalui kenyataannya menjelaskan pemain berdarah campuran itu sidapati telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan ketika perlawanan membabitkan Perak FC menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac lalu.
“Pemain itu itu dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil, Noor Azriel Baharudin apabila menyentuh dada pengadil berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya selepas perlawanan menentang Perak FC itu.
“Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod ini di mana pemain ini dikenakan penggantungan satu perlawanan terlebih dahulu dan baki satu lagi perlawanan adalah ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima,” kata Baljit Singh.
Apabila diminta engulas mengenai penggantungan dua perlawanan itu, Baljit berkata pemain itu digantung secara automatik bagi aksi Liga Super membabitkan JDT menentang Melaka United FC pada malam esok di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
“Baki satu lagi perlawanan adalah ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini. Jika pemain ini didapati bersalah mengulangi kesalahan yang sama, baki hukuman penggantungan satu perlawanan ini akan berkuatkuasa dengan serta-merta.
“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hanya keputusan berkaitan hukuman denda dibenarkan untuk rayuan,” katanya.
Hukuman tersebut juga menutup mulut pengkritik yang lantang beranggapan Natxo akan terlepas hukuman setelah lama menunggu pengumuman hukuman tersebut. Ramai yang menjangka Natxo akan terlepas atas sebab-sebab tertentu walaupun Jawatankuasa Tatatertib telah menyatakan hukuman mengikut giliran dan masa insiden tersebut.
Dengan hukuman tersebut, Natxo terlepas perlawanan Liga Super minggu keenam malam esok menentang Melaka United di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Namun, mengikut hukuman tersebut, Natxo boleh dan dibenarkan beraksi perlawanan seterusnya untuk JDT iaitu menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Sumber : Berita Harian || Foto : The Photoshooterz