Nasib Natxo Insa, bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), sama ada bakal dihukum atau terlepas hukuman berikutan kekasaran yang dilakukan terhadap pengadil akan diketahui esok.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin telah menegaskan, walau apa sekali pun keputusan yang bakal diambil Jawatankuasa Tatatertib FAM tidak dicampuri oleh mana-mana pihak. Sebaliknya mereka akan bertindak mengikut peraturan yang ada.
Hamidin berkata, peminat tidak perlu bimbang kerana jawatankuasa itu dibarisi mereka yang berpengalaman dan profesional, yang dipimpin oleh pengerusinya, Datuk Baljit Singh Sidhu.
“Tidak perlu risau, saya yakin dengan kepimpinan Datul Baljit dan barisan jawatankuasa beliau kerana semua individu ini berwibawa. Keputusan akan dibuat secara adil,” katanya.
Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang sebelum ini pada 6 Mac lalu menerima pelbagai kecaman kerana jawatankuasa itu hanya memberi amaran keras kepada penyerang Kelantan FC, Jack Hindle. Beliau juga bertindak menolak pengadil hingga terjatuh dalam aksi Liga Perdana.
Jawatankuasa tersebut itu juga sekadar memberi amaran kepada Alex Dos Santos Goncalves, pemain import Melaka United, kerana membaling bola ke arah pengadil.
Sedangkan dalam masa yang sama menggantung Petaling Jaya City (PJ City), Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dua perlawanan kerana ‘berlakon’ dikasari pemain lawan.
Sumber : Utusan Malaysia