Telah lebih setahun hanya boleh menonton perlawanan bola sepak di kaca televisyen, penyokong bola sepak negara akhirnya boleh melepaskan kerinduan masing-masing apabila kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium berdasarkan kapasiti venue dan status terkini kawasan masing-masing.

Dua perlawanan percubaan nanti yang terpilih sebagai perintis adalah membabitkan perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 2 April dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sabah FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April.

Dalam satu kenyataan menerusi akaun rasmi media sosial, Johor Southern Tigers, pihak JDT telah mengumumkan pelaksanaan pembelian tiket untuk perlawanan pada Jumaat ini.

Hanya pemegang pas bermusim sahaja yang dibenarkan menghadiri perlawanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim JDT menentang Melaka United pada hari Jumaat, 2 April 2021. Ia berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membenarkan hanya 2,000 penyokong sahaja.

Jumlah itu berikutan Johor beeada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 

Kebenaran kehadiran penonton bagi negeri Johor yang berada dalam status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan 10 peratus atau maksimum 2,000 penonton saja.

Kesemua pemegang Pas Bermusim Platinum Stadium Sultan Ibrahim, dibenarkan untuk masuk dan hanya perlu hadir di Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan dengan membawa pas bermusim masing-masing.

Bagaimanapun, jumlah yang dibenarkan untuk pemegang Pas Bermusim Gold adalah terhad ekoran syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Malaysia Football League (MFL).

Dalam kenyataan tersebut juga dimaklumkan bahawa pemegang Pas Bermusim Gold perlu mengambil QR Code (pas masuk) di kaunter pandu lalu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada hari Khamis (12 tengah hari hingga 8 malam) atau hari Jumaat (10 pagi hingga 1 petang) tertakluk kepada jumlah sedia ada. 

Kad Pas Bermusim perlu ditunjukkan dan pengambilan oleh pihak ketiga dibenarkan jika kad pas bermusim ditunjukkan. Satu pas bermusim layak untuk mendapat satu QR Code sahaja.

Pemegang Pas Bermusim Gold perlu kekal di dalam kenderaan ketika pandu lalu kerana tiada kaunter fizikal disediakan. 

Hanya mereka yang mempunyai QR Code atau kad Pas Bermusim Platinum sahaja dibenarkan untuk berada di kawasan Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan. 

Dalam perlawanan itu nanti, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM akan memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan terutama membabitkan aspek pergerakan serta penguraian ketika perlawanan itu nanti.

Dalam pada itu, jarak antara penonton adalah 1.5 hingga dua meter sekali gus perlu dipatuhi oleh setiap penonton nanti.