Latihan pusat yang berlangsung di Pusat Latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Johor Bahru telah berakhir semalam. Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menganggap ia berjaya selepas setahun pemain tidak dikumpulkan bersama.
Namun pintu skuad Harimau Malaya masih terbuka bagi mana-mana pemain menonjolkan kemampuan sama ada dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) mahupun beberapa tonggak yang beraksi di luar negara.
Antara pemain yang tidak dipanggil mengikuti latihan tersebut adalah pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman, yang telah menunjukkan kemampuan dan peningkatan yang memikat hati Tan Cheng Hoe.
Selepas lima perlawanan Liga Super berlangsung, Arif diberikan kepercayaan beraksi dalam kesemua perlawanan termasuk satu perlawanan penuh masa ketika menentang Selangor dan telah menjaringkan satu gol ketika menentang pasukan UiTM.
Cheng Hoe sebelum ini pernah berkata berkemungkinan Arif Aiman akan dipanggil pada sesi akan darang yang dijangka pada bulan Jun hadapan.
Seorang lagi pemain JDT yang tidak dapat mengikuti latihan tersebut adalah penain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang dikatakan mengalami kecederaan ketika perlawanan JDT menentang Perak. Beliau masih berpeluang dipanggil lagi bagi mempersembahkan kemampuannya bersama rakan sepasukan lain.
Walau bagaimanapun, Tan Cheng Hoe mengakui masih belum memutuskan barisan terakhir yang akan dipanggil bagi menggalas misi getir dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan Jun nanti.
Pengendali Harimau Malaya itu turut berkata, buat masa ini, barisan jurulatih masih belum membuat apa-apa keputusan lagi, tapi mereka nampak pemain baharu yang datang pun dapat menonjolkan sesuatu yang boleh diketengahkan.
“Setiap pemain diberi peluang dan sudah tentu ada lagi beberapa pemain kita tak dapat panggil lagi contoh seperti Liridon Krasniqi, Junior Estdal dan Dominic Tan yang berada di luar negara. Pemain itu kita akan pantau prestasi dan tahap kecergasan mereka,” kata Cheng Hoe.
Bekas pemain JDT yang sekarang ini bermain untuk Sri Pahang, Fazly Mazlan juga turut tidak bersama skuad kali ini kerana mengalami kecederaan dalam perlawanan mereka terakhir.
Seramai 28 pemain telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru bermula Isnin lalu yang berakhir kelmarin sebagai permulaan gerakan pertama dalam menyiapkan barisan terbaik negara oleh Cheng Hoe.
Latihan itu sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara berpusat di UAE dengan aksi pertama skuad negara akan berdepan tuan rumah diikuti Vietnam dan Thailand.
Dalam senarai terbabit, Cheng Hoe turut juga memanggil pemain naturalisasi baharu Malaysia buat kali pertama, Guilherme De Paula, namun beliau menegaskan tidak dapat memangil Liridon, Eldstal dan Dominic akibat kekangan beraksi di kelab luar negara.
Liridon Krasniqi ketika ini bermain di Liga Australia bersama Newcastle Jets manakala Junior Eldstal dan Dominic Tan di Liga Thailand masing-masing beraksi dengan Chonburi FC dan Police Tero.
Begitupun, bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang bermain bersama KV Kortrijk di Belgium disenaraikan oleh Cheng Hoe.
Selepas beberapa hari berehat, pemain-pemain akan sambung beraksi dalam saingan Liga Super pada hari Jumaat, 2 April ini.
Dalam perlawanan itu nanti perlawanan antara JDT melawan Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri akan berlangsung dengan kehadiran penonton setelah mendapat kebenaran dari pihak kerajaan.