Seorang pengadil perlawanan Liga Super di antara Sabah FC menentang Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad lepas, dikenakan tindakan penggantungan berkuat kuasa serta-merta selama dua minggu daripada sebarang tugasan perlawanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundaram berkata, pengadil tersebut didapati telah menunjukkan prestasi kurang memuaskan di sepanjang perlawanan itu, berpandukan kepada laporan Penilai Pengadil.
Pengadil tersebut juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM, Nagor Amin Noor Mohamed, untuk beliau mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah semula.”Beliau hanya akan Kembali dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super apabila prestasinya dinilai berada pada tahap memuaskan,” kata S Sivasundaram.

Sementara itu, pengadil perlawanan pada hari yang sama di antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, turut dirujuk kepada Nagor Amin disebabkan terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat.
“Secara keseluruhan prestasi pengadil adalah memuaskan di sepanjang perlawanan tersebut berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut,” kata S Sivasundaram yang juga timbalan presiden FAM.
Pemain tengah JDT Natxo Insa pula, dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berpandukan kepada bukti rakaman video dan laporan pengadil ekoran tindakannya yang menyerbu dan menyentuh pengadil selepas tamat perlawanan antara Perak dan JDT.
Khailazuan Kidam dan Noor Azriel Baharudin merupakan pengadil yang masing-masing mengadili perlawanan antara Sabah FC dan Terengganu FC, dan Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad, yang mencetuskan ketiadakpuasan dalam kalangan peminat dan juga netizen.
Sumber : Harian Metro || Foto : TFC