Melihat kepada situasi semasa negara ketika ini, harga tiket bagi menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium wajar dikekalkan seperti sedia ada 

Walau bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau menyerahkan perbincangan mengenai harga tiket itu kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Beliau yakin MFL akan meneliti berhubung perkara itu termasuk kesesuaian serta justifikasi kepada perubahan harga tiket tersebut.

Tambah beliau lagi, keutamaannya ketika ini adalah bagi meyakinkan dan menarik semula penyokong kembali ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan masing-masing.

“Soal kenaikan harga tidak menjadi perbincangan sekarang ini dan kalau ada perubahan pada tiket perlawanan, pada saya dalam keadaan sekarang ini biarlah harga tiket itu kekal seperti sedia ada.

“Tetapi perbincangan harga tiket itu saya serahkan kepada MFL kerana mereka adalah penyelia kepada Liga Malaysia (Liga M),”katanya.

Beliau telah mengulas laporan akhbar berkenaan kemungkinan penyokong terpaksa menanggung harga kenaikan tiket perlawanan pada kadar sekitar RM5 hingga RM10 setelah dibenarkan untuk kembali menyaksikan perlawanan di stadium bermula bulan depan.

Ini setelah beberapa pasukan Liga-M memberi bayangan untuk menaikkan sedikit harga tiket perlawanan daripada kebiasaannya untuk menampung kos tambahan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Sumber : Utusan Malaysia