Walaupun tanpa kehadiran penonton ke stadium, jelas ia tidak merencatkan populariti juara Liga Super tujuh kali Johor Darul Ta’zim (JDT), apabila kelab terbabit merekodkan jumlah tontonan menerusi platform atas talian dengan purata mencecah jutaan penonton untuk hampir setiap perlawanan.

Dalam kenyataan melalui Facebook rasmi JDT,  JOHOR Southern Tigers telah memaklumkan kekuatan jenama JDT secara tidak langsung menarik minat penaja untuk membuat pelaburan terhadap kelab yang berpangkalan di Selatan tanah air itu.

Melalui jumlah tontonan yang mencecah jutaan penonton itu, ia memberi keyakinan tinggi kepada pelabur untuk memberikan komitmen kepada kelab JDT terutama pada masa akan datang.

“Penaja juga sedar bahawa jenama mereka dapat dipaparkan kepada ramai penonton dan penyokong hasil kerjasama dengan JDT..

“Ini terbukti apabila hanya siaran langsung perlawanan membabitkan JDT mencatatkan purata satu juta tontonan menerusi laman YouTube unifi. Jumlah ini tidak termasuk angka penonton di saluran unifiTV dan RTM.

“Berdasarkan rekod, jumlah tontonan perlawanan JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) adalah sebanyak 666,000, manakala JDT dan Penang FC mencatat jumlah 1.1 juta tontonan.

“Perlawanan menentang UiTM FC ditonton lebih 668,000 dan dua perlawanan terakhir bertemu Selangor dan Perak masing-masing mencatat jumlah 1.5 juta dan 1.3 juta tontonan,” katanya.