Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora, menganggap bahawa kebanyakan pasukan lawan akan ‘naik seh’ ketika berdepan JDT selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut sambil menganggap ia sebagai satu perkara biasa.
Dalam perlawanan di Stadium Perak malam tadi, JDT hampir-hampir ditimpa kekalahan pertama sejak julai 2019 sebelum bangkit di lewat permainan untuk mengikat Perak FC 2-2.
JDT berterusan beraksi 17 perlawanan tanpa tewas dalam Liga Super. Kali terakhir JDT tewas adalah pada 16 Julai 2019 di tangan PJ City di Stadium Larkin.
Perak mendahulu JDT 2-0 hasil jaringan pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula, dalam setiap babak sebelum JDT bangkit mengikat kedudukan tersebut menerusi sentuhan Akhyar Rashid (75’) dan sepakan penalti lewat permainan Leandro Velazquez (90+4’)
Melalui satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Mora berkata:
“Semua orang mahu menewaskan juara. Semua orang mahu menewaskan pasukan terbaik. Semua orang mahu menewaskan pemain terbaik.
“Jadi ia perkara normal. Jika saya jurulatih pasukan lain, saya juga akan melakukan perkara sama ketika berdepan JDT.
“Tetapi saya akan bermain dengan adil kerana standard saya sebagai jurulatih adalah untuk berlaku adil dan bermain bola sepak.
“Tidak seperti yang beberapa pasukan lakukan, seperti malam ini, mereka banyak sekali merebahkan badan dan saya tidak boleh katakan ia sebagai permainan yang adil.
“Saya boleh katakan ia sebagai strategi yang tidak berapa baik,” kata Mora.
Di samping keputusan 2-2 itu, pertemuan Perak dan JDT berlangsung panas dan penuh drama sama ada di dalam dan luar padang.
Bermula dengan tindakan pemain Perak yang banyak melengahkan masa permainan, penalti kontroversi buat skuad Harimau Selatan itu juga turut menghangatkan lagi keadaan.
Ia disusuli dengan insiden pengadil diserang pemain sejurus perlawanan tamat sebelum menjadi lebih tegang ekoran provokasi yang dilakukan pemain dari kedua-dua pasukan.
Situasi itu hampir mencetuskan pergaduhan besar, namun keadaan berjaya dikawal, sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.