Dua pemain muda berbakat negara Muhammad Ramadhan Saifullah Usman dan Luqman Hakim Shamsuddin menjadi aset penting kepada skuad Harimau Malaya terutama dalam memberi nafas baharu di bahagian serangan.
Menjelang misi penting dalam saingan Kelayakan Piala Dunia Kumpulan G 2022/Piala Asia 2023 pusingan kedua di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang sudah meledak lapan gol dalam lima perlawanan, kini mahukan jaminan jentera serangan yang lebih ampuh.
Prestasi yang dipamerkan Luqman Hakim, 19, yang kini berkelana ke Belgium bersama kelab KV Kortrijk dan Muhammad Ramadhan, 20, yang mencipta nama bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) ternyata telah memikat hati Cheng Hoe yang kini bersedia memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing di atas padang.
Faktor umur bukan penghalang seseorang pemain untuk berada dalam pasukannya bagi Cheng Hoe dan beliau teruja untuk menguji kemampuan kedua-dua pemain itu yang telah berada dalam pemerhatiannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kita nampak mereka ada potensi yang besar untuk menjadi sebagai penyerang utama skuad kebangsaan di masa hadapan. Bagi saya walaupun umur 16 atau 35 kalau boleh beri sumbangan kepada pasukan saya langsung tidak ambil kira,” kata Cheng Hoe kepada Bernama.
“Apa yang penting apabila datang ke pasukan kebangsaan boleh bekerja sebagai satu pasukan dan saling menghormati. Itu kunci kejayaan pasukan. Kita tidak boleh hanya terlalu fokus terhadap kebolehan individu sahaja,” tambah Cheng Hoe.

Buat pertama kali, Muhammad Ramadhan dan Luqman Hakim dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad negara yang bermula semalam di Johor Bahru (JDT) sekali gus bakal memberi pilihan lebih banyak kepada Cheng Hoe dalam mengatur strategi pasukan.
Walaupun baru hanya membuat satu penampilan bersama skuad utama KV Kortrijk setakat ini, Cheng Hoe berkata perkembangan positif Luqman Hakim dapat dilihat menerusi sesi latihan dan ketika beraksi buat skuad Bawah 21 (B-21) pasukan itu.
“Terdapat kemajuan dan peningkatan dari segi keyakinan Luqman Hakim, selain beliau juga menunjukkan kematangan yang saya fikir dapat menguatkan skuad kebangsaan,” jelas Cheng Hoe.
Cheng Hoe turut mengakui teruja dengan kemampuan yang dimiliki oleh Muhammad Ramadhan dalam kempen Liga Super musim lepas setelah menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan dan memenangi kejuaraan Liga Super pertamanya bersama JDT.
“Kita nampak dari segi kekuatan beliau apabila masuk ke dalam perlawanan dan berani berdepan serta menggelecek pihak lawan, beliau juga mempunyai kelajuan, kita mengharapkan sesuatu daripada Muhammad Ramadhan,” katanya.
Sehingga kini, 6 daripada keseluruhan lapan gol dijaringkan skuad negara pada kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 telah disumbangkan oleh pemain di bahagian tengah pasukan.
Tiga daripadanya dihasilkan oleh pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh sementara tonggak JDT Muhammad Safawi Rasid dan ketua pasukan Selangor FC Brendan Gan masing-masing mencetak dua dan satu gol.
Penyerang JDT Muhammad Syafiq Ahmad muncul penyerang tunggal dalam pasukan negara yang berjaya mencetak nama sebagai penjaring dengan mengumpul dua gol.
Malaysia dijadualkan akan meneruskan baki saingan aksi kelayakan yang tertangguh lebih setahun susulan penularan pandemik COVID-19 secara berpusat menentang UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), kesemuanya di UAE.