“Bukan malam kami,” jelas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora selepas menyaksikan pasukannya sekadar meraih keputusan seri 2-2 ketika menentang Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.
Mora turut berkata, skuad Harimau Selatan sepatutnya menjaringkan beberapa gol lagi kerana mencipta banyak peluang tetapi malangnya tidak dapat disudahkan dengan jaringan gol.
“Seperti pertemuan dengan Selangor sebelum ini, kami juga cipta banyak peluang tetapi gagal diterjemahkan menjadi gol.
“Sebaliknya Perak berjaya menggunakan peluang mereka dengan baik manakala kami gagal menyudahkan peluang yang biasanya adalah gol buat kami.
“Oleh yang demikian, kami terpaksa bekerja keras dalam perlawanan ini terutamanya pada separuh kedua,” katanya selepas perlawanan Ahad lepas.
Dalam perlawanan itu, skuad The Bos Gaurus mempamerkan persembahan cukup luar biasa apabila pemain naturalisasi De Paula menyumbat kedua-dua gol tuan rumah pada minit ke-33 dan 56 manakala Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy nyata padu di benteng terakhir tuan rumah serta banyak menggagalkan percubaan JDT.
Bagaimanapun bekas penjaga gol kebangsaan itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyekat jaringan Akhyar Rashid pada minit ke-75 serta sepakan penalti pada minit-minit akhir (90+4’) oleh Leandro Velasquez.
Walaupun kecewa namun Mora tetap memuji persembahan anak didiknya yang bangkit pada separuh kedua untuk menguasai perlawanan hingga berjaya mengutip satu mata.
Pada masa sama, Mora juga menyindir corak melengah-melengahkan permainan yang diamalkan pemain lawan menyebabkan rentak dan tumpuan anak buahnya terjejas.
“Memang semua pasukan mahu menumpaskan pasukan juara dan akan menerap pelbagai helah dan taktik. Ini perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.