Saingan Liga Super 2021 telah selesai hingga ke minggu kelima. Walaupun masih terlalu awal, namun saingan untuk berada di puncak Liga Super masih terbuka luas bagi semua pasukan. 

Penyandang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) berupaya kekal berada di puncak liga dengan kutipan 11 mata empat minggu berturut-turut. Ia diikuti oleh Terengganu FC (TFC) yang hanya kurang satu mata di belakang JDT. TFC mengekori rapat dengan mengumpul 10 mata. 

Berada di tempat ketiga adalah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang mempunyai mata yang sama dengan TFC, namun dipisahkan oleh perbezaan jaringan gol.

JDT sepatutnya mengambil kesempatan ketewasan TFC terhadap Sabah malam tadi. Sekiranya JDT dapat mengalahkan Perak FC, JDT sudah tentu berkelebihan 3 mata dengan TFC. Namun jika dilihat permainan Perak FC malam tadi agak sukar JDT dapat mengalahkan PFC. 

JDT bernasib baik apabila Leandro Velazquez dapat menyempurnakan sepakan penalti di saat-saat akhir perlawanan dan seterusnya dapat kembali bangkit mengikat Perak 2-2.

Perak mendahului JDT 2-0 hasil jaringan pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula pada minit ke-33 dan 59. Akhyar Rashid yang baru dimasukkan menggantikan Mohamadou Sumareh berjaya merapatkan jurang pada minit ke-70 sebelum JDT dihadiahkan sepakan penalti di akhir perlawanan.

JDT juga bernasib baik TFC tewas malam tadi. Sekiranya TFC menang, sudah tentu tangga teratas liga akan diambil alih oleh TFC dengan kelebihan 2 mata. Satu tamparan buat TFC gagal merekodkan kecemerlangan tanpa tewas.

Kini hanya tinggal dua pasukan yang belum pernah kalah iaitu JDT dan Melaka United. Namun Melaka United sedang bergelut di tangga kesembilan liga.

Perjalanan liga masih jauh lagi. Masih ada berbaki 17 perlawanan lagi sekiranya berlangsung dua pusingan home dan away. Pada musim lepas liga berlangsung hanya satu pusingan 11 perlawanan sahaja akibat daripada pandemik Covid-19.

JDT masih belum dilihat mendominasi liga diawal saingan. Pasukan yang berada di tangga ke-6 (PJ City) pun berbeza hanya 4 mata berbanding JDT. Perebutan masih terbuka luas. 

Persaingan Liga Super akan memperlihatkan pasukan yang benar-benar mantap dan boleh bertahan sehingga ke akhir musim akan menjuarai liga. 

JDT masih mengekakan rekod tanpa kalah. Tiga perlawanan awal yang menghasilkan kemenangan selesa JDT membuatkan pasukan lain gerun. Namun dua perlawanan selepas itu JDT hanya mampu seri iitu dengan Selangor (1-1) dan terkini dengan Perak FC (2-2).

Keputusan dua perlawanan terakhir itu membuatkan pasukan-pasukan lain lega dan mula bersemangat serta menambah sedikit keyakinan apabila bertemu JDT nanti. 

Halangan JDT terbesar adalah penjaga gol lawan yang ‘on-form’, cemerlang dan tidak gugup seperti Khairul Azahan (Selangor) dan Hafizul Hakim (Perak). Jika bukan kerana kecekapan penjaga gol tersebut sudah tentu banyak gol dibolosi.

Lihat sahaja perlawanan malam tadi, Hafizul menyelamatkan berbelas percubaan tepat bertali arus dari pasukan lawan.

Leandro Velazquez sahaja sekurang-kurangnya tiga percubaan yang tepat dan sepatutnya boleh menghasilkan gol, namun Hafizul sentiasa dapat menghalangnya.

Dua keputusan seri itu sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada setiap pasukan yang akan berhadapan dengan JDT.

Perlawanan seterusnya bagi JDT adalah menentang Melaka United pada 2 April ini di Stadium Ibrahim, Iskandar Puteri. Pertemuan dua pasukan yang belum pernah tewas dan di antara pendahulu liga dan ke-9 liga.

Masa liga berehat hampir dua minggu ini seharusnya dapat dimandaatkan oleh pengendali JDT, Benjamin Mora, memperbaiki dan mencari jalan menembusi gawang lawan. 

Ketiadaan Safawi amat dirasai, namun ia sesikit terubat apabila Arif Aiman beraksi cemerlang menggantikan tempat Safawi yang masih mengalami kecederaan. Kelincahan dan keyakinan beliau seolah-olah seperti pemain senior yang berpengalaman dibandingkan usianya yang baru mencecah 18 tahun.

Tempoh dua minggu rehat ini digunakan untuk skuad Harimau Malaya berkumpul dan berlatih untuk persediaan kejohanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia. 

Saingan Liga Super akan kembali bersambung semula pada 2 April ini buat JDT dengan Stadium Sultan Ibrahim menjadi perintis penyokong dibenar masuk ke stadium mengikut SOP yang ditetapkan.

Foto : The Photoshooterz