Insiden ejek mengejek dan kata mengata dipercayai adalah faktor yang menyebabkan berlaku ketegangan antara seorang pemain Perak dengan seorang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas perlawanan di Stadium Perak malam tadi.

Ia dipercayai berlaku pertikaman lidah antara pemain kedua-dua pasukan sehingga menyebabkan keadaan sedikit kecoh selepas perlawanan tamat.

Dalam insiden di hadapan tempat duduk utama stadium antara kerusi pemain simpanan kedua-dua pasukan itu, keadaan tiba-tiba menjadi tegang sebaik sahaja pemain kedua-dua pasukan bersalaman.

Ketika para pemain berpusu-pusu hendak keluar dari padang dan masuk ke bilik persalinan tiba-tiba kelihatan seorang pemain JDT cuba ditenteramkan dan dihalang daripada menyerang seorang pemain Perak oleh rakan sepasukannya.

Kekecohan selama beberapa minit itu bagaimanapun berjaya ditenteramkan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam perlawanan semalam Perak dan JDT terikat 2-2 di akhir permainan. Tuan rumah mendahului 2-0 melalui dua jaringan Guilherme De Paula pada minit ke-34 dan ke-59.

Pelawat bagaimanapun berjaya memadam kelebihan tuan rumah lewat separuh kedua melalui pemain gentian, Akhyar Rashid dan penalty yang disempurnakan oleh Leandro Sebastian Velasquez..