Amaran yang diberikan pengurusan jelas menyentak semangat Sabah FC setelah mereka mengejutkan pasukan di tangga kedua, Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam aksi di Stadium Likas, sebentar tadi.

Perlawanan itu menyaksikan skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto itu mencapai kemenangan pertama musim ini selepas tumbang dalam tiga aksi berturut-turut sebelum ini.

Kekalahan ini sekali gus membuatkan skuad Penyu terlepas peluang untuk terus mencabar pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah diikat seri 2-2 oleh Perak FC sebentar tadi

Pada aksi terbabit, babak pertama menjadi igauan ngeri TFC setelah mereka dibolosi dua gol pantas pada minit ke-38 dan ke-42 perlawanan.

Levy Clement Madinda mencatat gol pendahuluan buat tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 sebelum Sam Johnson melebarkan jurang empat minit kemudiannya.

Dalam babak kedua perlawanan, TFC berjaya merapatkan jurang menerusi Jordan Mintah pada minit ke-78 namun gol penyamaan yang dicari tidak hadir sehinggalah wisel penamat dibunyikan.

Kekalahan TFC menjadikan mereka kekal di tangga kedua liga namun kali ini satu mata di bawah pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT). JDT bernasib baik apabila seri 2-2 dengan Perak FC. Dua penjaring, Akhyar Rashid dan Leandro Velazquez menjadi penyelamat JDT. JDT akan turun ke tangga kedua jika TFC menang perlawanan menentang Sabah FC.

Foto : Malaysian Football League