Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terselamat daripada menerima kekalahan pertama musim ini apabila hanya berjaya berkongsi mata dengan Perak FC sebentar tadi di Stadium Perak, Ipoh.
JDT diikat seri 2-2 oleh Perak FC menjadikan ia keputusan seri kali kedua berturut-turut JDT. Namun kedudukan seri itu tidak menggugat kedudukan JDT di persada liga apabila Terengganu FC menerima kekalahan mengejut di tangan Sabah di Stadium Likas 1-2.
JDT berjaya mengutip 11 mata sementara TFC satu mata di belakang JDT selepas lima perlawanan.
JDT dikejutkan pada minit ke-33 oleh Perak FC setelah Guilherme De Paula berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan dan seterusnya mendahului pasukan pelawat 1-0. Guilherme De Paula sekali lagi menambah koleksi jaringannya apabila sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-58.
Melihatkan kedudukan JDT ketinggalan 0-2, JDT menggandakan usaha apabila banyak membuat percubaan tepat namun penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim menjadi penghalang terbesar JDT apabila banyak percubaan tepat ke pintu gol berjaya diselamatkan oleh beliau.
Namun JDT berhasil memecah kebuntuan apabila Akhyar Rashid yang masuk menggantikan Sumareh berjaya meneawskan penjaga gol Perak FC di penjuru sebelah kiri pintu gol Perak FC.
Malang bagi Perak FC apabila JDT dihadiahkan dengan sepakan penalti apabila terdapat kekasaran oleh pemain Perak FC di dalam petak penalti. Sepakan penalti itu tidak disia-siakan oleh Leandro Velazquez dan berjaya mengikat kedudukan 2-2 sebelum wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan.

Walaupun Guilherme De Paula berjaya menjaringkan dua gol malam ini, namun wira bagi Perak FC adalah penjaga gol mereka Hafizul Hakim kerana berbelas cubaan tepat dari JDT dapat ditangkis beliau.
Penuh Masa : PERAK [2-2] JDT
(Guilherme De Paula 34′, 58′)
(Akhyar Rashid 74′ / Leandro Sebastián Velázquez 90’+3(pen)
Kesebelasan JDT : Farizal Marlias, Matthew Davies, Afiq Fazail, Aidil Zafuan (C), Bergson da Silva, Leandro Sebastián Velázquez, Ramadhan Saifullah Usman, La’Vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Maurício dos Santos Nascimento , Arif Aiman Hanapi
Simpanan : Izham Tarmizi, Adam Nor Azlin, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Mohamadou Sumareh, Hariss Harun, Hazwan Bakri, Akhyar Rashid, Nazmi Faiz
Foto : JOHOR Southern Tigers