Juara Liga Super musim lepas, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tiada berdepan sebarang masalah untuk mengatasi Perak biarpun gergasi bola sepak negara itu sekadar melakar keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac lalu.

Jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah berkata, keputusan seri dalam perlawanan keempat liga itu hanya boleh disifatkan sebagai ‘wake up call’ kepada semua pemain kelab tersebut.

“Pada saya keputusan seri dilakar JDT ketika menentang Selangor sebenarnya tidak pun menjejaskan momentum kelab tersebut berdasarkan prestasi sebelum ini.

“JDT adalah kelab yang konsisten dalam saingan liga. Keputusan seri ketika menentang Selangor sebenarnya sesuatu yang bagus sebagai ingatan kepada pemain Harimau Selatan supaya tidak merasa selesa.

“Pengurusan pasukan yang diketuai oleh Mora juga sudah pasti telah melakukan post mortem perlawanan menentang Selangor sebagai persediaan berkunjung ke Ipoh,” kata Azrai Khor.

Skuad JDT akan bertandang ke Stadium Perak menentang Perak bagi perlawanan kelima Liga Super pada malam ini.

Berkaitan prestasi The Bos Gaurus kendalian Chong Yee Fatt, Azraai Khor berkata, skuad Perak masih berada dalam keadaan terumbang-ambing berikutan pertukaran ketua jurulatih pada saat-saat akhir sebelum musim baru bermula.

Azraai Khor turut menjelaskan, Bos Gaurus kini sedang berdepan masalah untuk merealisasikan rentak konsisten seperti dibuktikan dalam beberapa perlawanan yang sebelumnya.

“Team Perak masih belum ‘settel down’ kerana masih tercari-cari kombinasi terbaik di kalangan pemain bagi merealisasikan taktikal ketua jurulatih baharu mereka.

“Pemain-pemain memerlukan sedikit masa bagi menerapkan falsafah bola sepak yang dibawa oleh Yee Fatt walaupun dibarisi beberapa pemain musim lalu,” katanya.

Sebagai rekod, Perak dalam perlawanan terakhir liga tewas 3-0 ketika berkunjung ke Cheras menentang Kuala Lumpur City.

JDT sekarang ini berada di tangga teratas liga berkongsi 10 mata dengan Terengganu FC (TFC). Mereka hanya dipisahkan oleh perbezaan gol.

TFC juga turut mempunyai satu perlawanan malam ini menentang Sabah di tempat lawan.

Salam perkembangan lain, pemain import baharu JDT, Mohamadou Sumareh, masih belum mendapat sebarang penampilan dalam empat perlawanan awa saingan Liga Super musim ini. Beliau dikhabarkan masih dilanda kecederaan sebelum ini.

Adakah malam ini Sumareh akan beraksi ? Safawi sudah pulih ? Arif Aiman dalam kesebelasan utama malam ini ? JDT akan mengamuk ? Bergson akan jaringkan gol lagi ?

Semuanya akan terjawab malam ini bermula pukul 9.00 malam.

Foto : The Photoshooterz