Penyokong Perak tidak rela igauan buruk dibelasah 7-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertemuan terakhir mereka tahun lepas berulang lagi apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi Liga Super malam ini.

“Jangan biarkan pisang berbuah dua kali” – Begitulah peringatan dari penyokong Perak FC.

Dua kekalahan berturut- turut, pertukaran jurulatih di awal musim dan aksi tidak menentu Bos Gaurus antara elemen yang amat membimbangkan peminat mereka apabila menerima kunjungan JDT di Stadium Perak, Ipoh.

Perak yang dibimbing Chong Yee Fatt selepas Mehmet Durakovic berundur secara mengejut beberapa hari sebelum musim bermula tumpas 0-3 kepada Kuala Lumpur City, Rabu lalu dan kalah 0-2 kepada Terengganu pada 14 Mac.

“Dengan prestasi terumbang ambing pasukan ketika ini, saya bimbang igauan buruk dibelasah JDT berulang. Saya harap pemain Perak dapat meningkatkan persembahan serta ketepikan sebarang isu yang sedang membelenggu pasukan.

“Ini soal maruah pasukan dan negeri. Tolong jaga imej rakyat Perak,” kata peminat yang hanya mahu dikenali sebagai Halim.

Halim berkata, masalah terbesar Bos Gaurus adalah ketumpulan jentera serangan, ekoran aksi hambar pemain import yang baru diberikan taraf naturalisasi, Guilherme de Paula dan Careca.

“Pasukan kena tingkatkan permainan untuk menyaingi JDT. Selangor sudah membuktikan JDT tidak kebal dan boleh disaingi,” kata Abdul Razak Ismail.

Facebook rasmi kelab Perak FC turut dihujani pelbagai komen peminat. Ada yang memberi kata-kata semangat tetapi sebahagian besar meninggalkan kenyataan sinis, selain menyuarakan kebimbangan pasukan mereka akan menjadi mangsa belasahan.

Pasukan JDT membelasah Perak 7-0 Liga Super 2020 di Stadium Sultan Ibrahim

“Kome jangan ngada-ngada game ini Yob…JDT datang nak belasah je….defence (pertahanan) Yob kena betul-betul top of da pop… no mistake please Yob,” tulis pemilik akaun Nazir Zainal.

“Semangatlah weh! Kome bab milih logo kemain semangat. Baru kalah gini udah ropa nak tumpor. Usah riso,” tulis peminat, Bpetro Adm.

“Insya-Allah boleh dapat mata di gelanggang sendiri kan. Taktikal 10-0-0, satu mata milik kita macam Selangor,” tulis Hairul Zairi Baharim.

“Saya yakin Perak akan bangkit. Dengan sedikit perubahan taktikal, player berikan yang terbaik, boleh saingi JDT. Sama-sama makan nasi. Fulltime: Perak 0-14 JDT,” tulis pemilik akaun Popylol Amir secara sinis.

Pada musim lepas, Perak dibelasah oleh JDT 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan Liga Super pada 04 September 2020. Gol-gol JDT dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera (3), Afiq Fazail, Ramadhan Saifullah, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Foto : The Photoshooterz