“Jangan bersemangat hanya bila lawan Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja !”

Itulah pandangan yang dilontarkan oleh jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria kepada pasukan Selangor FC (SFC) yang akan meneruskan pemburuan tiga mata sebelum Liga Malaysia (Liga M) berehat dengan melayan kunjungan Penang FC (PFC) di laman sendiri, malam ini.

Bekas jurulatih UiTM FC dan Kuala Lumpur itu menjelaskan, skuad ‘The Red Giants’ perlu terus konsisten dan menunjukkan persembahan yang bertenaga sekalipun masih segar dengan kejayaan mengikat pendahulu Liga Super, JDT..

Katanya, peluang untuk meraih kemenangan pada aksi itu akan lebih berpihak kepada mereka jika dapat beraksi dengan kualiti yang sama ataupun lebih lagi daripada apa yang telah mereka tunjukkan ketika turun ke Stadium Sultan Ibrahim, Rabu lepas..

“Memang kita selalu tengok mana-mana pasukan yang jumpa JDT, pasti mereka akan beri tumpuan lebih daripada 100 peratus ketika beraksi. Begitu juga dengan SFC dan ia berhasil selepas mereka berjaya dapat satu mata.

“Cuma mereka (SFC) pun perlu juga main betul-betul apabila menentang Penang FC malam ini. Jangan ambil mudah dan sambil lewa dengan rasa sudah selesa dengan persembahan menentang JDT tempoh hari.

“Saya tidak rasa pemain akan lemau kerana ada rehat dan makan yang cukup selain mengharungi proses pemulihan. Cuma semangat itu perlu ada dalam setiap perlawan4n supaya boleh terus konsisten kalau mahu jadi juara.

“Jangan setakat bermain mati-matian untuk jumpa JDT sahaja, lawan pasukan lain pun perlu main betul-betul juga. Penang FC bukan pasukan yang calang calang dan bagi saya, peluang 50/50 kepada kedua-dua pasukan,” katanya.

Untuk rekod, skuad bimbingan Karsten Neitzel itu membuka kempen Liga Super musim dengan langkah kanan menerusi kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang FC.

Namun, bayang kemenangan mula menghilang bermula perlawanan kedua sehingga keempat yang menyaksikan mereka keciciran tujuh mata daripada sembilan yang boleh diperoleh.

Mereka tewas di tangan Terengganu (TFC) sebelum sekadar meraih keputusan seri menentang KL City FC dan JDT.

Sumber : Berita Harian // Foto : The Photoshooterz