Kejayaan demi kejayaan yang telah ditempa oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) menyaksikan mereka layak bergelar ‘Raja Bolasepak Malaysia’ yang baharu.
Berdasarkan tujuh kejuaraan Liga Super berturut-turut selain kejayaan menjulang Piala AFC 2015 serta trofi domestik yang lain, skuad Harimau Selatan itu jelas berada jauh meninggalkan pencabar lain dalam kancah bola sepak tempatan.Penyertaan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) buat musim ketiga berturut-turut juga boleh dijadikan landasan gelaran tersebut.
Malah, tidak dinafikan ada mereka-mereka yang cemburu dengan pencapaian cemerlang yang ditempa pasukan itu dan satu soalan telah dilontarkan penyokong bola sepak tempatan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Instagramnya baru-baru ini.
Soalan itu berbunyi ‘Kenapa ramai sangat dengki dengan pasukan JDT?’
Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan JDT membalas, “pasukan terbaik sudah pasti menjadi tumpuan ramai pihak.”
“Kenapa ramai dengki dengan Bayern Munich di Germany? PSG di France, Juventus di Italy dan Man City di England?
“When you’re on top, you attract losers with opinions,” kata Tunku Ismail.
Dalam masa yang sama, Tunku Ismail juga menegaskan yang beliau tidak ada masalah dengan Selangor mahupun orang dari negeri terbabit.
Walau bagaimanapun, TMJ tidak gembira dengan segelintir individu dalam Selangor FC (SFC) yang didakwa mengejar kepentingan peribadi dan menggunakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“For the last time, saya tiada masalah dengan Selangor. Saya membesar di Johor, Selangor dan Perak. Di Selangor Seksyen 9, Shah Alam. Saya ramai kawan dan pekerja dari Selangor. Saya tiada masalah dengan Selangor or orang Selangor.
“Saya cuma ada masalah dengan segelintir individu di dalam Selangor FC kerana baling batu sembunyi tangan dan mengguna DYTM RMS demi kepentingan peribadi. Itu sahaja,” katanya.
Sumber : Berita Harian, 19.03.2021 // Foto : The Photoshooterz