Johor Darul Ta’zim II (JDT II) sebentar tadi mempamerkan kebangkitan setelah dua kali ketinggalan sebelum mencatatkan kemenangan berharga 3-2 ke atas pasukan Perak FC II dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin.

Pasukan pelawat, Perak FC II, terlebih dahulu membuka jaringan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti setelah Nazirul Afif Ibrahim dikasari oleh Nafizuddin Fauzi dalam kotak penalti.

Adib Abdul Ra’op tidak berdepan masalah menyempurnakan peluang terhidang itu untuk meletakkan Perak FC II di hadapan seawal minit ke-6..

Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT II menggandakan asakan mencari ruang untuk memburu gol penyamaan.

Nafizuddin menebus kesilapan yang dilakukan dengan menghasilkan bantuan gol (assist) apabila hantaran lintangnya pada minit ke-16 disambut dengan tandukan Fernando Rodriguez bagi menyamakan kedudukan.

Skuad bimbingan Syamsul Mohd. Saad sekali lagi di hadapan setelah Farid Khazali meledak jaringan menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gawang, Haziq Nadzli pada ke-38.

Pasukan JDT II di bawah kendalian Rafael Sanchez hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-57 namun rembatan padu Ahmad Aysar Hadi Shapri yang menewaskan penjaga gol, G. Yuganes sekadar hinggap ke palang gol lawan.

Di minit ke-62, JDT II berjaya memadamkan kelebihan pasukan pelawat menerusi jaringan Feroz Baharudin yang menyudahkan sepakan percuma Nicolas Fernandez.

Lima minit selepas jaringan itu, pasukan tuan rumah akhirnya berada di hadapan apabila Nicolas Alberto Fernández sekali lagi menghasilkan bantuan gol mengumpan pemain gantian Luis Cabrera yang menanduk masuk gol ketiga JDT II pada minit ke-67.

Pasukan Perak II cuba untuk mencari gol penyamaan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata namun keputusan kekal sehingga ke wisel penamat.

Barisan pemain JDT II :

Kesebelasan JDTII : Haziq Nadzli, Nafizuddin Fauzi, Firdaus Ramli, Fernando Rodriguez, Nicolás Alberto Fernández (C), Ahmad Aysar Hadi, Rafiefikri Rosman, Feroz Baharudin, Syazwan Andik, Daniel Amier, Syafiq Ahmad

Simpanan : T. Shaheeswaran , Adib Zainuddin, Kei Hirose, Chia Ruo Han, Gary Steven Robbat, Umar Hakeem Suhar Redzuan, Gabriel Nistelrooy, Aiman Danish, Luis Ignacio Cabrera.