Selangor FC (SFC) yang menunjukkan persembahan luar biasa ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1, Rabu lalu di Stadium Sultan Ibrahim gagal meneruskan rentak tersebut apabila terpaksa akur kepada kehebatan Penang FC (PFC) selepas tewas 2-0, sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Red Giants malam ini menurunkan barisan terkuat termasuk gandingan dua pemenang kasut emas musim lalu, Ifedayo Olusegun dan Shahrel Fikri Fauzi namun SFC masih gagal menembusi gawang pasukan pelawat.

Sebaliknya, pengendali P. Pinang, Tomas Trucha yang menerapkan taktikal bertahan dalam perlawanan itu telah berjaya membuka jaringan menerusi rembatan kencang Mohamad Al Hafiz Harun pada minit ke-38 untuk meletakkan pasukan pelawat mendahului 1-0. Gol tersebut terhasil selepas Al-Hafiz menerima lorongan cantik penyerang dari Tajikistan, Sheriddin Boboev. 

Selangor kembali mengatur gerakan serangan setelah tersentak dengan jaringan itu, namun mereka terus buntu untuk menembusi gawang yang dikawal oleh penjaga gol pelawat, Samuel Somerville yang juga bekas pemain JDT II, untuk mengekalkan kedudukan 1-0 sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Dalam babak kedua, tuan rumah terus melakukan tekanan terhadap pertahanan PFC menerusi serangan bertali arus namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Usaha skuad kendalian Karsten Neitzel memburu gol penyamaan hampir berjaya pada minit ke-57 namun rembatan pertahanan dari Singapura, Safuwan Baharudin sekadar melewati tiang gol.

Dengan hanya menerusi satu serangan balas pantas, lorongan cantik Khairu Azrin Khazali mengatasi dua pertahanan Selangor dimanfaat sebaik mungkin oleh Danial Ashraf Abdullah yang melakukan larian deras, disusuli rembatan kencang untuk gol kedua PFC pada minit ke-72.

Penang FC hampir menambah gol ketiga namun percubaan David Rowley dalam petak penalti berjaya ditepis keluar oleh Khairulazhan Khalid pada minit ke-83.Red Giants terus mati akal untuk menembusi gawang PFC meskipun menguasai keseluruhan permainan babak kedua sehingga memaksa pasukan pelawat ‘parking bas’.

Foto : Selangor FC