Walaupun masih berusia 18 tahun, namun aksi matang yang diperagakan bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi jelas memukau perhatian pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk diserapkan ke dalam pasukan negara selepas ini.

Cheng Hoe menjelaskan bahawa beliau sudah lama memerhatikan perkembangan Arif Aiman yang diakuinya mempunyai potensi dan masa depan yang cukup cerah menyarung jersi kebangsaan.

Beliau turut berkata, jika pemain berusia 18 tahun itu terus menunjukkan peningkatan, tidak mustahil beliau akan memanggil Arif pada kem latihan pusat pada Jun ini di mana skuad kebangsaan dijadualkan mengharungi tiga aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.

Sebagai rekod, Malaysia akan menghabiskan baki saingan Kumpulan G dengan menentang UAE, Vietnam dan Thailand dengan sasaran untuk mengungguli dua posisi teratas dan seterusnya mengesahkan tiket ke Piala Asia di China pada 2023 dan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022..

“Arif Aiman menunjukkan dia di antara pemain muda yang sedang meningkat naik dan kita dapat lihat dia semakin matang di atas padang.

“Itu satu petanda positif buat dirinya dan juga pasukan JDT serta negara. Saya dah lama tengok dia ketika dia dengan pasukan bawah 19 (B-19) tahun lagi, dia menunjukkan tahap permainan yang baik.

“Latihan pusat yang akan mula minggu depan, saya tak dapat senaraikan dia (Arif) lagi, tapi kalau dia terus konsisten mungkin kita akan panggilnya pada Jun nanti,” kata Cheng Hoe.

Skuad negara yang sudah setahun tidak menjalani latihan mahupun menghadapi aksi peringkat antarabangsa, akan berlatih mulai esok dengan 28 pemain muda dan senior disenaraikan.

Kali terakhir Harimau Malaya berlatih adalah pada November 2019 ketika mengharungi dua aksi Kumpulan G, di mana anak buah Cheng Hoe berjaya melakar dua kemenangan ke atas Thailand dengan jaringan 2-1, dan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Arif Aiman memulakan musim ini dengan membuat penampilan dalam kesemua empat perlawanan awal JDT termasuk satu perlawanan diberi kepercayaan oleh pengendali JDT, Benjamin Mora disenaraikan dalam kesebelasan utama dan bermain penuh masa.

Beliau juga turut menjadi penjaring JDT termuda pada usia 18 tahun 10 bulan.

Sumber : Arena Metro // Foto : The Photoshooterz