Penggiliran pemain sentiasa diamalkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) setiap musim. Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora bakal melakukan penggiliran tersebut apabila bertandang ke Stadium Perak untuk berdepan Perak FC pada aksi Liga Super, Ahad ini di Ipoh.

Apabila ditanya oleh wartawan Harian Sukan, sama ada penggiliran pemain skuad Harimau Selatan itu bakal menampilkan Mohamadou Sumareh untuk menentang skuad kendalian Chong Yee Fatt, Mora tidak menolak kemungkinan pemain naturalisasi itu mungkin berada dalam kesebelasan utama.

“Mungkin… semuanya bergantung kepada perancangan taktikal yang akan dipersembahkan pada perlawanan itu. Apapun saya juga perlu melihat tahap kecergasan pemain lain selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat.

“Saya juga akan melakukan penggiliran pemain dan tidak berdepan masalah untuk memilih barisan pemain kesebelasan utama bagi mengharungi perlawanan kelima liga, Malah kita tahu bermain di Ipoh selalunya akan berdepan dengan kesukaran.

“Untuk aksi menentang Perak, saya tahu pasukan itu tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC dan kita tidak mahu memikirkan mereka akan bangkit apabila berdepan JDT nanti, sebaliknya tumpuan saya lebih terarah kepada memperkemaskan setiap posisi apabila berdepan pasukan itu,” kata Mora.

Benjamin Mora menegaskan matlamat utama berhadapan dengan Perak FC pastinya mempamerkan aksi konsisten bagi memburu kemenangan dengan semangat juang yang tinggi malah cuba sedaya upaya mencari gol awal dalam perlawanan tersebut.

Bagaimana pun Mora menyatakan skuad Seladang itu tetap berbahaya tatkala mereka mahu bangkit daripada kekalahan kepada Kuala Lumpur Ciity FC dan sudah tentunya pasukan itu akan tampil lebih agresif dengan corak permainan yang pantas.

“Ia mungkin perlawanan sukar buat kami apabila beraksi di sana. Malah kami menghormati mereka sebagai salah satu pasukan yang baik dalam saingan liga dan saya jangkakan ia aksi menarik dikala kami ingin bangkit selepas seri pada aksi lalu,” kata Mora.

JDT akan berdepan dengan Perak FC malam esok di Stadium Ipoh, Perak pada pukul 9.00 malam. Perlawanan tersebut adalah perlawanan kelima dalam saingan Liga Super 2021. JDT berada di atas tangga carta liga dengan mengutip 9 mata hasil daripada tiga kemenangan dan sekali seri.

Pencabar JDT yang berada di tangga kedua liga, Terengganu FC (9 mata) pula akan menentang Sabah pada 21 Mac.

Artikel Penuh : Berita Harian // Foto : The Photoshooterz